suria

‘Turning Point’ Melaka United, P.Pinang Malam Ini

Mohd Yusoff Mahadi.

PETALING JAYA: Aksi Liga Super malam ini yang memasuki perlawanan ke-16 disifatkan sebagai misi hidup mati pasukan Melaka United dan Pulau Pinang.

Kedua-dua pasukan itu yang menghuni dua tangga tercorot liga kini bergelut untuk terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Melaka United menduduki tangga ke-11 dengan 12 mata daripada 15 perlawanan manakala Pulau Pinang di kedudukan ke-12 berbekalkan enam mata.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa), Datuk Mohd Yusoff Mahadi ketika dihubungi mStar Online berkata aksi menentang skuad Harimau Kumbang di Stadium Hang Jebat, Melaka malam ini bakal menentukan hala tuju pasukan itu musim depan.

"Perlawanan ini sangat penting untuk kita. Kalau kalah bermakna kita menempuh jalan sukar untuk kekalkan kedudukan dalam Liga Super," katanya.

Justeru, beliau berkata semua pemain dan jurulatih Eduardo Almeida kini memikul tanggungjawab berat untuk mengutip tiga mata penuh di gelanggang sendiri bagi membuktikan pembaharuan yang dilakukan pihak pengurusan berbaloi.

"Mereka tak boleh ambil mudah perubahan yang kita buat, jadi mereka kena bermain berhabis-habisan malam ini, do or die. Kita tak nak apa yang dilakukan untuk pusingan kedua macam membazir," katanya.

Ditanya mengenai peluang Melaka United untuk kekal, Mohd Yusoff berpendapat peluang itu masih ada kerana mereka hanya dibezakan beberapa mata dengan Sarawak, PKNS dan juga Kelantan.

"Saya nampak peluang itu masih ada kerana kami hanya dibezakan beberapa mata dengan pasukan lain. Saya tengok ada beza satu atau dua mata sahaja tapi turning point malam ini. Jadi perlawanan ini sangat penting," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Pulau Pinang Zainal Abidin Hassan mengingatkan anak buahnya sudah jangan mengambil mudah Melaka United yang turut berada di zon berbahaya.

Zainal Abidin Hassan.

"Walaupun Melaka United ada kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, saya nasihatkan semua pemain supaya gunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata pemain skuad Harimau Kumbang itu perlu bangkit menebus kekecewaan di tangan PKNS FC Selasa lalu dengan mengutip tiga mata penuh di gelanggang lawan.

"Kita kena kutip mata penuh, tebus kekecewaan pada perlawanan lalu dan beri dua tiga kali ganda usaha untuk lakar kemenangan," katanya.

Pada masa sama, Zainal mengakui Pulau Pinang dan Melaka United akan turun beraksi dengan satu matlamat yang sama iaitu mengutip tiga mata penuh untuk memperbaiki kedudukan masing-masing yang kini menduduki zon tercorot liga.

"Ini adalah aksi hidup mati pasukan. Matlamat kedua-dua pasukan tetap sama kerana kita menghuni zon berbahaya. Kedua-duanya pasti mengimpikan tiga mata penting ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain