suria

Rayuan Diterima, ATM Dipotong Tiga Mata

PETALING JAYA: Perkongsian Bola Sepak Liabiliti Terhad Malaysia (FMLLP) mengurangkan pemotongan mata yang dikenakan ke atas pasukan ATM daripada enam mata kepada tiga mata.

FMLLP dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata sekatan pendaftaran pemain baharu semasa tempoh pendaftaran kedua yang dikenakan terhadap pasukan Liga Perdana itu turut dibatalkan.

"Melalui surat bertarikh 30 Jun lalu, rayuan ATM telah diterima oleh Ahli Lembaga Pengarah FMLLP.

"Pasukan ATM telah melengkapkan proses pendaftaran melalui sistem SPMB dan tiada larangan untuk pasukan ATM untuk mendaftarkan pemain baharu semasa tempoh pendaftaran kedua," kata FMLLP menerusi kenyataan itu.

Bagaimanapun, FMLLP berkata hukuman pemotongan mata masih dikuatkuasa terhadap ATM kerana pasukan itu gagal melengkapkan pendaftaran pasukan mengikut masa yang ditetapkan.

"Pasukan ATM melengkapkan proses pendaftaran melebihi dari tiga tempoh yang ditetapkan iaitu pada 31 Disember 2016 (tarikh akhir pertama), 4 Januari 2016 (tarikh akhir kedua) dan 31 Mac 2017 (tarikh akhir ketiga).

"Maka keputusan pemotongan mata masih dikenakan terhadap pasukan ATM, namun dikurangkan kepada 3 mata," katanya.

Rayuan ATM sebelum ini masih dipertimbangkan kerana FMLLP perlu melakukan siasatan terperinci sebelum keputusan akhir dibuat.

Sebelum ini sebanyak empat pasukan Liga Malaysia iaitu T-Team, Kelantan, Perlis dan ATM dikenakan hukuman pemotongan enam mata selepas gagal melunaskan tunggakan gaji pemain serta menerima hukuman larangan perpindahan pemain.

FMLLP turut membuat keputusan mengurangkan hukuman pemotongan daripada enam mata kepada tiga mata terhadap Kelantan, T-Team dan Perlis.

FMLLP, ATM

Artikel Sebelum

Artikel Lain