suria

Luahan Hati Ketua Jurulatih Sarawak, David Usop

David Usop

BUKAN bermaksud mahu bersikap dingin dengan penyokong tetapi David Usop hanya mahu beri fokus terhadap kerja sebenar iaitu melatih pasukan Sarawak.

Dia sendiri tahu memang terdapat banyak kritikan serta desakan daripada penyokong setia Bujang Senang yang mahu melihatnya  meletak jawatan.

Perkara itu dapat dilihat dalam mana-mana media sosial jika terdapat berita mengenai pasukan Sarawak, nama David Usop pasti menjadi sasaran utama peminat Ngap Sayot.

Bagaimanapun, David berasakan dia sudah melakukan kerja dengan baik berdasarkan keupayaan pemain yang ada dalam pasukan Sarawak.

Apa sahaja diperkatakan oleh penyokong baginya hanyalah luahan kekecewaan biasa selepas pasukan kesayangan mereka tewas dalam mana-mana perlawanan.

"Kalau sudah ambil risiko sebagai jurulatih, ini perkara yang saya perlu hadapi iaitu kritikan jika pasukan dibimbing tewas dalam mana-mana perlawanan.

"Yang penting saya kerja dengan jujur melatih pasukan dan biarkan peminat berkata-kata dalam facebook atau sebagainya, malah saya sendiri jarang buka media sosial.

"Fokus saya hanya mahu pertingkatkan prestasi pemain dan semua jurulatih tidak mahu pasukan mereka tewas namun penyokong Sarawak kena faham bagaimana kekuatan pasukan," katanya.

Jelas David, dia sudah lali dengan kerenah penyokong Sarawak yang sememangnya antara penyokong cukup fanatik.

Malah bermula daripada zaman bergelar pemain sehingga penolong jurulatih, David faham cara penyokong Sarawak dan dia tidak ambil hati apa sahaja apa diperkatakan oleh mereka.

"Saya dah lama dengan bola sepak Sarawak dan bermacam-macam saya sudah lalui, jadi saya anggap ini asam garam jika mahu berkecimpung dalam bola sepak.

"Kita kena sentiasa teruskan kerja kita tidak kira apa terjadi kerana bukan semua perlawanan pasukan kita boleh menang, " katanya.

Cerita Sarawak pada musim lalu nyata tidak banyak berbeza pada musim ini iaitu masih bergelut di dasar zon penyingkiran Liga Super.

Berada di tangga kesembilan, Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya tiga ke empat kemenangan daripada baki lapan perlawanan jika mahu bersaing sekali lagi di Liga Super musim depan.

Di kempen Piala Malaysia, Sarawak terus tunjukkan prestasi hambar bila tewas dua kali berturut-turut dalam Kumpulan D, kumpulan yang dilabel sebagai kumpulan maut kerana bariskan pasukan seperti Johor DT, Selangor dan Terengganu.

Sarawak, David Usop

Artikel Sebelum

Artikel Lain