suria

PKNP Mengganas Dalam Diam - Dollah

PETALING JAYA: Tiada alasan lain, Pahang perlu bangkit daripada mimpi, jelas Dollah Salleh.

Pahang yang berkunjung ke Stadium Ipoh bagi meneruskan saingan peringkat Kumpulan A Piala Malaysia menyifatkan lawan mereka, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sebuah pasukan hebat.

"Saya tidak pernah tengok mereka bermain, tetapi tahu setiap keputusan perlawanan PKNP.

"Perlawanan pertama aksi ini mereka menang dengan T-Team (2-1), malah sebelum itu juga pernah menewaskan Kedah (1-0) ketika saingan suku akhir kedua Piala FA.

"Jadi bagi saya mereka ini sebuah pasukan yang tidak terkenal tetapi selalu membuat kejutan," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Menurut bekas pengendali skuad kebangsaan ini, baki dua perlawanan peringkat kumpulan ini amat penting bagi Tok Gajah.

"Dua perlawanan sebelum ini termasuk aksi Liga Super amat mengecewakan saya. Banyak kesilapan yang dibuat dan pemain-pemain seolah-olah lupa bahawa Pahang ini merupakan sebuah pasukan yang ditakuti.

"Ia amat menghampakan. Jadi saya berharap selepas ini semua pemain perlu sedar dan bangkit menunjukkan permainan sebenar," jelas Dollah sambil menambah semua pemain bebas daripada kecederaan.

Pahang yang kini berada di tangga kedua saingan Liga Super terpaksa berpuas hati mencatat seri 2-2 pada perlawanan pertama bertemu Sarawak Selasa lalu.

Selain perlawanan PKNP-Pahang, turut beraksi dalam saingan Piala Malaysia peringkat kumpulan malam ini termasuk Negeri Sembilan menentang T-Team, Kuala Lumpur-Perak (Kump B), UiTM FC -Kedah (Kump C) dan Terengganu lawan JDT (Kump D).

Pahang, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

RB Leipzig Jelas Pendirian

Artikel Lain