suria

Lubnan Bangkit Tundukkan Harimau Malaya

Pemain Harimau Malaysia, Mahali Jasuli (18) melakukan percubaan ke arah pintu gol Lebanon

JOHOR BAHRU: Dua jaringan pemain gantian Lubnan, Rabih Ataya dalam tempoh kira-kira 10 minit terakhir perlawanan telah memusnahkan harapan Malaysia untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata selepas selesa mendahului 1-0 pada babak pertama.

Keputusan di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos itu sekali gus mengundang kekecewaan dalam kalangan peminat setia Harimau Malaya yang mengharapkan sentuhan magis Ketua Jurulatih baharu, Eduardo Manuel Vingada.

Aksi separuh masa pertama menyaksikan perlawanan seimbang antara kedua-dua pasukan dengan menyaksikan Harimau Malaya beraksi buat kali pertama secara kompetitif di bawah kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dikemudi Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Percubaan pertama skuad negara tampil pada minit keempat menerusi sepakan percuma Badrol Bakhtiar tetapi tendangannya mudah diselamatkan oleh penjaga gol Lubnan, Mootaz Bellah El Jounaidi.

Peluang Lubnan untuk mendahului perlawanan hanya muncul pada minit ke-16 juga menerusi sepakan percuma selepas pertahanan Malaysia, Muhammad Shahrom Abdul Kalam mengasari pemain lawan tidak jauh dari kotak penalti.

Ekoran kekasaran itu, Shahrom turut dilayangkan kad kuning manakala sepakan percuma oleh pemain Lubnan, Hassan Al Saad tidak mendatangkan bahaya pada pintu gol Malaysia.

Selang empat minit kemudian, Lubnan lagi dihadiahkan sepakan percuma dari jarak yang hampir sama tetapi sepakan percuma oleh Nassar Nassar sekadar singgah ke benteng pertahanan Harimau Malaya.

Detik-detik cemas skuad negara menjelma pada minit ke 27 dan 29 apabila pemain Lebanon cuba meraih simpati pengadil untuk mendapatkan sepakan penalti selepas pemain mereka iaitu Hassan Maatouk dan Mohamad Haidar dikatakan dikasari oleh pemain pertahanan Malaysia.

Penjaga gol Malaysia, Khairul Azhan Moho Khalid hanya teruji buat kali pertama pada minit ke-38 apabila Hassan melakukan percubaan jarak jauh yang berjaya ditepis dengan cemerlang.

Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos akhirnya bergempita dengan sorakan 6,850 penonton apabila Harimau Malaya memecah kebuntuan menerusi jaringan Mahalli Jasuli pada minit ke-40.

Gol itu terhasil menerusi gerakan menarik Syazwan Dainon di bahagian sayap kiri yang bijak melorongkan bola untuk disudahkan oleh penyerang tunggal negara, Ahmad Bakri tetapi pemain kelahiran Sabah itu gagal memanfaatkan peluang terhidang.

Bagaimanapun kesilapan penjaga gol Lubnan, Motaaz yang gagal menangkap kemas hantaran lintang itu, dihidu pantas oleh Mahalli yang mudah menolak masuk bola ke gawang gol untuk meletakkan Malaysia mendahului 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan Lebanon bermula garang apabila percubaan Nassar sekali lagi dikecewakan oleh kecemerlangan Khairul Azhan.

Malah Khairul Azhan juga menyelamatkan percubaan berbahaya Hassan selang seminit kemudian ekoran keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol.

Pintu gol Malaysia sekali lagi terselamat pada minit ke-63 susulan percubaan Hassan daripada sepakan penjuru apabila tendangannya melambung tinggi walaupun berada pada kedudukan terbaik untuk menjaringkan gol.

Keampuhan barisan pertahanan harus diberi pujian sepanjang perlawanan kerana mematahkan serangan berbahaya Lebanon selain kecekapan Khairul Azhan.

Bagaimanapun hantaran kurang kemas dari kawasan sendiri sering kali mengundang bahaya kepada pintu gol Malaysia.

Kelemahan itu bagaimanapun diimbangi dengan corak serangan pantas berbahaya terutamanya dengan kelincahan Syazwan dan Mahalli di bahagian sayap.

Pintu gol Malysia sekali cemas apabila percubaan pemain gantian, Rabih Ataya singgah ke tiang gol hasil rembatan luar kotak penalti walaupun Khairul Azlan sudah tertewas.

Vingada mula menukar corak untuk memperkukuhkan barisan tengah apabila mengeluarkan Syazwan dan Mohd Amirulhadi Zainal untuk digantikan dengan penyerang veteran, Mohd Amri Yahya dan Mohd Afif Amiruddin.

Kealpaan pemain Malaysia akhirnya dihukum pada minit ke-80 menerusi tendangan cantik Rabih yang dimasukkan sebagai pemain gantian,  untuk menewaskan Khairul Azhan, sekali gus mengikat kedudukan 1-1.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Vingada kembali mengasak kubu Lubnan dan Amri Yahyah hampir meletakkan Malaysia kembali di hadapan pada minit ke-83 namun tendangannya melewati gawang gol ketika Mootaz berada di luar posisi.

Ketika perlawanan memasuki masa tambahan dan hampir ditamatkan, Rabih sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Harimau Malaya apabila menjaringkan gol kemenangan hasil gerakan cantik di bahagian kiri pintu gol Malaysia.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia perlu menewaskan Hong Kong pada 5 September depan bagi melayakkan ke Piala Asia 2019 selepas menghuni tangga tercorot Kumpulan B tanpa sebarang kemenangan.

Selain Lebanon dan Hong Kong, Korea Utara juga berada dalam kumpulan sama.

Mahalli Jasuli, AFC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain