suria

Melaka United Letak Syarat

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) menetapkan syarat khas dalam kriteria pengambilan calon ketua jurulatih baharu terutamanya dari luar bagi menggantikan kerusi panas yang dikosongkan Eric Williams.

Menurut Timbalan Presiden Musa, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, selain memiliki daya kepimpinan yang membolehkan dirinya dihormati pemain, calon tersebut juga perlu fasih berbahasa Melayu.

"Mana-mana calon dari luar yang berminat untuk memimpin pasukan ini, syarat utama adalah dia boleh berbahasa Melayu. Ini penting kerana ia memudahkan komunikasi dengan pemain," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Selain itu, Mohd Yusoff berkata, calon tersebut juga perlu membangkitkan semangat pemain untuk kembali mempamerkan persembahan terbaik selepas 'hilang' semangat juang sebelum ini.

"Saya tengok kita miliki pemain berkualiti cuma dari segi psikologi mereka sudah tak ada semangat juang. Jadi kita kena ambil jurulatih yang ada reputasi baik dan berupaya memulihkan motivasi pemain," katanya.

Buat masa ini, Mohd Yusoff berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Dejan Antonic yang kini berkhidmat sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak profesional South China yang berpangkalan di Hong Kong.

Malah, dalam masa sehari dua lagi, beliau akan bertemu dengan pengendali kelab bola sepak Indonesia, Cilegon United, Arcan Iurie yang turut berminat untuk mengisi kekosongan tersebut.

"Kita sudah temui Dejan tapi belum buat apa-apa keputusan mengenainya. Saya juga dah berhubung dengan Iurie melalui telefon, cuma sekarang saya tengah buat keputusan sama ada dia perlu datang ke sini atau saya temuinya di Indonesia," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Yusoff berkata terdapat beberapa lagi calon jurulatih luar yang perlu dipertimbangkan selain empat jurulatih tempatan dalam radar Melaka United sebelum keputusan mengenai calon layak diputuskan selewat-lewatnya Sabtu ini.

"Sekarang ini kita masih diperingkat menilai calon-calon yang dicadangkan. Peluang untuk ambil sama ada jurulatih luar mahupun tempatan 50-50.

"Kalau kita putuskan lepas jumpa calon jurulatih luar ini, kita tak mahu ambil mereka, maka kita ada empat jurulatih tempatan. Kita kena cari kelebihan dan kesesuaian jurulatih itu dengan mengecilkan skop pemilihan," katanya.

Selain, Mohd Azrai Khor Abdullah, K Devan dan Datuk K Rajagobal, bekas ketua jurulatih Harimau Muda C, Hassan Sazali Mohd Waras antara calon yang disenaraikan untuk menggantikan Williams bagi melatih Melaka United pada baki aksi Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Namun, antara keempat-empat calon itu, Azrai Khor dilihat berpotensi besar untuk mengisi kerusi panas tersebut.

Bekas pengendali Kedah yang berpengalaman luas itu pernah membantu skuad Lang Merah menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia untuk dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.

Melaka United, Musa

Artikel Berikut

Artikel Lain