suria

Skuad England Jadi 'Komando'

SKUAD kebangsaan England mula menjalani latihan intensif dalam usaha merangkul gelaran Piala Dunia 2018.

Namun kali ini, latihan yang lebih serius dilaksanakan oleh jurulatih England, Gareth Southgate bagi memastikan anak buahnya benar-benar bersedia membawa pulang trofi berprestij itu ke England.

Menurut laporan Mail Online, skuad Three Lions menjalani latihan di kem Tentera Laut Diraja Britain di Devon sebelum perlawanan menentang Scotland dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018.

Malah setiap pemain tidak dibenar menggunakan telefon pintar masing-masing selain berpakaian seperti tentera ketika menyertai latihan itu.

Raheem Sterling dan Dele Alli bekerja sama ketika memasang tempat tidur. - Mail Online

Latihan selama 48 jam itu merupakan usaha mengukuhkan kerjasama pasukan England dengan mendapat latihan daripada komando.

Antara latihan berat yang mereka lalui termasuk memanjat bukit sejauh enam kilometer sambil memikul beban seberat 21 kilogram, meredah rintangan dan bermacam latihan lagi.

"Saya mahu pemain merasai suasana yang berbeza dan tidak dijangka.

"Pihak tentera mengajar kami tentang jangkaan yang tidak diketahui dan ia merupakan sebahagian usaha latihan.

"Kami perlu belajar bagaimana menghadapi saat sukar kepada kami sebagai satu pasukan," katanya.

Penjaga gol Southampton, Fraser Forster dipaksa berendam dalam air sambil dipegang oleh seorang komando. - Mail Online

Selain itu, Southgate mahu pemainya berfikir di luar kotak dan melihat persamaan serta perbezaan antara pemain bola sepak dan tentera.

Ujarnya, dia mahu mendedahkan pemain dengan persekitaran elit bersama satu antara pasukan tentera terbaik dunia.

"Mereka ini (komando) berkhidmat untuk Permaisuri dan negara. Kita juga melakukan perkara sama tetapi pihak tentera berdepan kesan yang lebih tinggi berbanding pemain bola sepak jika gagal.

"Apa yang penting adalah mencapai semangat berpasukan dan saling menyokong antara staf dan pemain," katanya. - MAIL ONLINE

England

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain