suria

TMJ Tempelak Dakwaan Kenegerian

Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin menjadi gelanggang utama bagi skuad kebangsaan dalam mengharungi kempen Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 yang bermula Jun depan.

KUALA LUMPUR: Ketika timbul cakap-cakap bahawa tindakan menjadikan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebagai gelanggang utama skuad Harimau Malaya lebih bersifat kenegerian, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menemplak dakwaan tersebut.

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu, tiada istilah kenegerian kerana kem latihan akan diadakan di setiap negeri mengikut pengiliran sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini.

"Kita telah buat keputusan bahawa kem latihan akan mengikut giliran di setiap negeri kerana pasukan ini milik seluruh negeri.

"Akan ada perlawanan persahabatan yang berlangsung di Kelantan, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak kerana kita sebahagian daripadanya," kata beliau pada sidang media di sini Rabu.

Bagaimanapun, Tunku Ismail berkata isu tersebut tidak penting kerana pada akhirnya perkara yang perlu diberi tumpuan adalah memperbaiki mutu bola sepak negara.

"Idea utama adalah untuk mempunyai struktur profesional, mempunyai jurulatih terbaik dari luar negara yang akan berkongsi ilmu dengan skuad kebangsaan. Itu yang kita cari dan juga sasaran kita," katanya.

Pada masa sama, beliau tidak menolak skuad Harimau Malaya berdepan laluan sukar untuk mencipta keputusan cemerlang dalam tempoh tiga bulan sebelum aksi pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019 pada 5 Oktober depan.

"Kita hanya ada tempoh tiga bulan, kita tidak cukup masa untuk dapat keputusan terbaik, tiada yang mudah dalam bola sepak.

"Kita juga kekurangan sumber tetapi kita akan lakukan yang terbaik untuk mempertingkatkan pasukan," katanya.

Beliau berkata, selaku presiden FAM, beliau tidak mengharapkan kejayaan dalam tempoh yang singkat tetapi mahu kejayaan itu diteruskan untuk jangka masa panjang.

"Tiga bulan agak singkat. Macam yang saya kata, kita di sini bukan untuk mengadu tetapi saya akan menggunakan masa yang ada untuk mengubah ia menjadi hasil positif," katanya.

TMJ, FAM

Artikel Sebelum

Aksi Terakhir Aguero?

Artikel Berikut

Artikel Lain