suria

Vingada Tak Janji Apa-Apa

Nelo Vingada.

KUALA LUMPUR: Jurulatih baharu, Harimau Malaya, Nelo Vingada tidak memberi jaminan bahawa beliau akan meletakkan skuad kebangsaan pada kedudukan lebih baik dalam tempoh masa yang singkat.

Sebaliknya, pengurus kelahiran Portugal itu berazam untuk mengembalikan martabat bola sepak negara ke satu tahap lebih tinggi pada masa hadapan.

Vingada berkata buat masa ini beliau hanya akan memulihkan prestasi skuad kebangsaan langkah demi langkah.

"Mari kita ikut langkah demi langkah, saya tak boleh janji. Apa yang boleh saya janjikan adalah saya akan beri sepenuh komitmen terhadap pasukan," katanya.

Bagi Vingada, tiada had masa yang boleh ditetapkan terhadap seseorang jurulatih untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap.

"Bila anda tanya mana-mana jurulatih, masa sebenarnya tidak cukup. (Jose) Mourinho adalah pelajar saya ketika dia masih muda. Bapanya merupakan jurulatih saya dan dia beritahu dia memerlukan masa selama dua tahun untuk membentuk sebuah pasukan.

"Jadi dalam bola sepak tiada istilah masa kerana masa itu singkat. Saya percaya kita perlu lebih banyak masa untuk membentuk pasukan dan mengenali pemain secara lebih dekat. Mungkin kita boleh tunjukkan sedikit peningkatan berbanding situasi sekarang," katanya.

Bagaimanapun, Vingada menyifatkan ranking Harimau Malaya ketika ini tidak penting baginya kerana percaya keputusan yang baik boleh dilakar menerusi usaha keras setiap pemain.

"Melihat kepada ranking ketika ini, Malaysia di kedudukan bawah berbanding pasukan lain. Namun itu tidak penting. Apa yang penting adalah kita berusaha keras sehingga hari perlawanan. Perlawanan yang akan datang adalah yang paling penting dan sukar," katanya.

Pengurus berusia 64 tahun itu akan memulakan tugasnya bersama skuad Harimau Malaya secara rasmi pada 28 Mei ini.

Namun katanya, semua pemain akan berkumpul untuk sesi latihan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 2 Jun sekembalinya beberapa pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) daripada perlawanan separuh akhir kedua zon ASEAN menentang Ceres Negros FC di Filipina, 31 Mei ini.

 "Latihan akan bermula 28 Mei ini, tapi anda tahu Johor (JDT) akan menentang Filipina pada 31 Mei. Jadi ada beberapa pemain yang akan menyertai pasukan apabila mereka pulang dari Filipina. Semua pemain akan berlatih bersama-sama pada 2 Jun ini," katanya.


Nelo Vingada, FAM, Harimau Malaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain