suria

Gandingan Dua 'A' Selangor Bakal Gegarkan Liga Super

SELANGOR seharusnya menjadi antara pasukan yang wajar dicemburui pada pusingan kedua Liga Super ini selepas hadirnya gandingan dua 'A'.

Dua 'A' yang dimaksudkan ialah bintang sensasi, Andik Vermansah dan Amri Yahyah. 

Malah, sudah ada ramalan yang Selangor bakal cabar kembali saingan tiga teratas Liga Super dengan kemunculan mereka.

Ditambah Francis Forkey Doe yang sering kali bertindak selaku penyerang nombor 10, penyokong Selangor mungkin boleh tersenyum menonton baki 10 perlawanan ini.

Andik dan Amri pasti sentiasa jadi pembuka ruang serta arkitek kepada Forkey Doe melancarkan cubaan di depan gawang lawan.

Nada jurulatih Selangor, P.Maniam juga sudah berbeza apabila ditanya prospek Selangor dengan adanya Andik dan Amri.

"Adanya Andik dan Amri berikan Selangor kekuatan tambahan di bahagian serangan kerana semua orang tahu kualiti dimiliki mereka berdua.

"Kepantasan serta kelincahan mereka berdua beri nafas baharu kepada Selangor serta berikan banyak pilihan taktikal kepada saya.

"Saya sudah sedia untuk gandingkan Andik dan Amri bersama-sama Forkey Doe dalam misi mengejar empat pasukan terbaik Liga Super dan mencabar kejuaraan Piala Malaysia," katanya kepada mStar Online.

Andik juga tidak dapat menyembunyikan keterujaannya bila kembali bersama Selangor malah sanggup menolak banyak tawaran dari Liga Indonesia.

Baginya, dia amat sayangkan penyokong bola sepak Selangor yang menjadi punca untuk dia terus setia bersama skuad Merah Kuning.

"Bukan semata-mata isu kontrak berbaki setahun dengan Selangor tetapi saya ada misi yang belum selesai di sini.

"Memang dapat banyak tawaran dari kelab Liga Indonesia namun saya beritahu mereka, saya belum sedia tinggalkan Selangor.

"Saya cukup sayangkan segala-galanya mengenai Selangor terutama peminat yang tidak putus-putus beri sokongan kepada saya.

"Selepas menangi Piala Malaysia dua musim lalu, saya harap mampu hadirkan kejuaraan sekali lagi kepada Selangor," katanya.

Selangor, Liga Super, Indonesia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Defoe Sertai Bournemouth

Artikel Lain