suria

"Beri Kebebasan Pemain Jadi Ahli PFAM"

Tunku Ismail bersalaman dengan Izham Ismail (kanan) selepas majlis menandatangani MoU antara FAM dan PFAM pada Rabu.

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap agar pemain Liga Malaysia diberi kebebasan untuk menjadi ahli Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

Katanya, setiap kelab mahupun negeri tidak harus menghalang pemain mereka untuk menyertai PFAM.

"Saya harap pemain diberi kebebasan. Kita di sini bekerja bersama-sama dan menghormati antara satu sama lain.

"Jadi mereka perlu beri pilihan kepada pemain. Terpulang kepada pemain untuk sertai atau tidak. Mereka tidak patut halang pemain," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Sebelum itu, Tunku Ismail menyaksikan proses menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PFAM dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail manakala FAM diwakili Setiausaha Agungnya Datuk Hamidin Mohd Amin.

Dengan termeterainya MoU itu, FAM secara rasmi akan mengiktiraf peranan PFAM terutama dalam aspek berkaitan kebajikan dan pembangunan karier pemain.

Ia juga detik bersejarah bagi PFAM yang terpaksa menunggu hampir tiga tahun untuk menjadi rakan kerjasama strategik FAM dalam membangunkan bola sepak negara.

Menerusi MoU itu, Izham berkata penubuhan National Dispute Resolution Chamber (NDRC) pada tahun depan tidak akan menggantikan peranan Jawatankuasa Status FAM.

Sebaliknya, jelas beliau, badan bebas itu akan mengurangkan beban tugas jawatankuasa berkenaan, terutama dalam menyelesaikan isu kontrak pemain di negara ini.

"Penubuhan NDRC akan meningkatkan proses penyelesaian masalah mengenai kontrak pemain yang sebelum ini berada di bawah Jawatankuasa Status FAM.

"PFAM dan FAM sedang dalam proses memuktamadkan keanggotaan badan bebas ini, dan kami jangka ia akan dimuktamadkan tahun depan," katanya.

beri kebebasan, pfam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aksi Terakhir Aguero?

Artikel Lain