suria

United Menang Tipis, Mourinho Buka Rahsia Rashford

Marcus Rashford (kanan) diraikan oleh rakan sepasukannya, Antonio Valencia sebaik sahaja dia menjaringkan gol untuk Manchester United. -fotoREUTERS

JOSE Mourinho gembira dengan persembahan Manchester United ketika menentang Celta Vigo dalam separuh akhir pertama Liga Europa awal pagi Jumaat.

Bagaimanapun, dia tidak berpuas hati kerana skuad bimbingannya itu hanya mampu menang tipis.

United mendahului Celta Vigo dengan jaringan 1-0 menerusi gol tunggal Marcus Rashford yang disumbat masuk melalui tendangan bebas pada babak kedua.

United sebenarnya mempunyai beberapa peluang untuk meledakkan gol pada babak pertama, antara lain menerusi Henrikh Mkhitaryan dan Jesse Lingard.

Tetapi, peluang itu tidak membuahkan hasil kerana penjaga gawang Celta, Sergio Alvarez tampil cemerlang.

"Saya sangat gembira dengan penampilan pasukan, tapi tidak dengan keputusannya. Ketika waktu rehat kami sepatutnya sudah mendahului tiga atau paling tidak dua gol, tapi perlawanan ini masih terbuka," kata Mourinho memetik BBC.

"Kami bermain cukup baik untuk menutup peluang mereka, tapi seterusnya kami harus pergi dan bermain di Old Trafford," katanya.

Kemenangan ini bagaimanapun tetap memberi kelebihan kepada United untuk mara ke babak final kerana mereka bakal bermain di kandang sendiri.

Mereka akan menyambut Celta dalam perlawanan separuh akhir kedua, minggu depan.

Dalam pada itu Mourinho turut memuji mentaliti Rashford.

"Dia seorang budak muda berusia 19 tahun yang cintakan bola sepak. Selepas latihan, dia akan berada di padang selama setengah jam untuk berlatih mengambil sepakan percuma dan menunggu peluang.

"Lihatlah mentalitinya. Dia tak berhenti berusaha dan sangat matang. Mari kita lupakan umurnya, kerana itu tidak penting, yang penting kualiti," katanya.

Dalam perlawanan akan datang di Old Trafford, Celta harus menang dengan perbezaan minimum dua gol  untuk layak ke final.

Sebelum itu, United akan berdepan Arsenal di kandang lawan dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Ahad ini.

Artikel Lain