suria

Hampir 2,000 Sertai Karnival Sukan Umno

Mohamad Sahfri Ab Aziz (tengah) bersama anggota pemuda Umno pada sidang media sempena Karnival Sukan Umno pada Khamis. Foto: The Star/AZHAR MAHFOF

KUALA LUMPUR: Seramai 1,993 anggota Umno dari seluruh negara akan menyertai Karnival Sukan Umno yang julung kali diadakan bersempena ulang tahun ke-71 parti tersebut.

Penolong Setiausaha Pemuda Umno Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata karnival dari 9 hingga 11 Mei di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu akan menyaksikan 10 acara sukan dipertandingkan.

"Selepas ditangguhkan pada tahun lepas bagi menghormati insiden helikopter terhempas di Sarawak, kami teruskan Karnival Sukan Umno pada tahun ini bersempena ulang tahun ke-71 Umno.

"Sebanyak 13 kontinjen dari seluruh negara akan berkampung di Shah Alam bermula pada 9 Mei ini untuk bersama-sama menjayakan karnival ini yang dianggap mampu memperbaiki tahap kesihatan ahli-ahli Umno dan seterusnya merapatkan silaturahim," katanya selepas majlis taklimat dan pengundian Karnival Sukan itu di Menara Dato Onn, pada Khamis.

Sepuluh acara yang dipertandingkan pada karnival tersebut ialah bola sepak, futsal lelaki dan wanita, sepak takraw berpasukan, bola jaring, badminton berpasukan, bola tampar lelaki dan wanita, ping pong berpasukan dan boling berpasukan.

Tiga acara tambahan turut dipertandingkan iaitu boling khas wanita di bawah Pergerakan Wanita Umno, dodgeball di bawah Puteri Umno dan acara tarik tali.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dijangka merasmikan karnival itu di UiTM Shah Alam pada 9 Mei sementara majlis penutupan dijadual disempurnakan oleh Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.- Bernama

Karnival Sukan Umno

Artikel Sebelum

Artikel Lain