suria

Boling: Natasha Belum Puas, Idam Kejayaan Lebih Besar

Natasha (tengah) bersama kedua ibubapanya Anita Mohd Ali dan Mohamed Roslan Ismail dalam satu kejohanan sebelum ini.

KUALA LUMPUR: Selepas melakar kejayaan cemerlang pada Kejohanan Boling Kebangsaan dan Kejohanan Boling Antara Negeri 2017 yang berakhir Sabtu lepas, pemain elit negara, Natasha Mohamed Roslan mula mengidamkan kejayaan lebih besar.

Natasha, 21,yang juga juara remaja wanita dunia 2016 mengakui belum puas dengan pencapaiannya itu, sebaliknya menganggap ia adalah titik permulaan buat dirinya terus mengukir nama dalam sukan tersebut.

Menurut atlet kelahiran Selangor itu, walaupun telah meraih pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa semasa di zaman remajanya, dia masih dahagakan kejayaan yang lebih besar di peringkat tertinggi.

“Saya bersyukur kerana berjaya mempersembahkan permainan yang baik untuk mengekalkan kejuaraan tetapi sebagai pemain muda dalam skuad elit negara, saya sentiasa memberi komitmen tinggi dan berusaha gigih untuk menyaingi pemain lain.

“Dengan usaha yang berterusan bersama jurulatih, sokongan keluarga selain pendedahan di peringkat antarabangsa, saya lihat impian itu tidak mustahil untuk dicapai,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Natasha mempamerkan prestasi mengagumkan apabila berjaya mempertahankan gelaran dalam kategori wanita pada Kejohanan Kebangsaan edisi ke-41, selain  menambah koleksi kejayaan dengan meraih satu pingat emas dan tiga perak pada Kejohanan Antara Negeri edisi ke-30 yang berakhir Khamis  lepas.

Mengenai penyertaan di peringkat antarabangsa tahun ini, Natasha berkata beliau belum dimaklumkan tentang perkara berkenaan oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC)  dan ketika ini  hanya memberi tumpuan pada persiapan Sukan SEA Kuala Lumpur pada 19-30 Ogos ini.

Dalam pada itu, Natasha yang merupakan pelajar tahun empat di Universiti Sunway bertekad memberikan yang terbaik sekiranya terpilih dalam skuad Sukan SEA Kuala Lumpur.

“Sukan SEA 2015 merupakan penampilan pertama saya dan jika terpilih kali ini, saya mahu menggunakan segala pengalaman yang ada untuk membantu negara meraih lebih banyak pingat,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Ata dalam kalangan rakan sepasukan.

Sebagai  rekod, ketika berusia 19 tahun, Natasha berjaya menghadiahkan pingat emas buat negara dalam kategori berpasukan wanita pada penampilan sulungnya di Sukan SEA Singapura 2015.

Sementara itu, ratu boling negara, Shalin Zulkifli yang pernah menjadi jurulatih skuad Sukan Malaysia (Sukma) Selangor, menyifatkan Natasha seorang atlet muda yang berpotensi.

“Prestasi Natasha ketika ini sangat bagus dan menunjukkan kematangan. Saya bertuah kerana berpeluang berganding dengannya dan memenangi pingat bersama bekas anak didik saya,” kata Shalin yang bersama Natasha membantu Selangor meraih pingat emas kategori beregu wanita pada Kejohanan Antara Negeri minggu lepas.

Natasha, Boling

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain