suria

Patuhi Peraturan Atau Potong Mata - FMLLP

PETALING JAYA: Lima pasukan yang masih gagal menyempurnakan proses penyertaan dalam pertandingan Liga Super dan Liga Perdana 2017 boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk berdepan pemotongan mata.

Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dalam kenyataannya berkata, masih ada pasukan yang tidak memenuhi syarat penyertaan walaupun tarikh akhir pengesahan pada 31 Disember 2016 dilanjutkan sehingga 31 Mac 2017.

"Selepas tarikh tersebut, didapati sebanyak lima pasukan iaitu dua dari Liga Super dan tiga dari Liga Premier 100Plus masih gagal untuk memenuhi syarat yang ditetapkan.

"FMLLP mengambil serius perkara ini memandangkan kesemua peraturan dan prosedur liga telah dibentangkan semasa Taklimat Liga Malaysia 2017 yang diadakan pada bulan Disember 2016 di Shah Alam," menurut kenyataan yang dikeluarkan Rabu.

Antara syarat tersebut adalah pasukan diwajibkan mengemaskini dokumen dan surat yang menyatakan telah menyelesaikan bayaran semua gaji dan tunggakan gaji pegawai dan pemain musim 2016 hingga November 2016 serta gagal mengemaskini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Nasional (Perkeso).

Kenyataan itu turut menyebut FMLLP akan berhubung terus dengan pasukan yang masih ingkar.

"FMLLP boleh mengambil tindakan tegas terhadap pasukan mengikut Perkara 16.3.d (muka surat 33), Perkara 37.2 (muka surat 50) dan Perkara 43 (muka surat 54) Manual Liga Malaysia 2017.

"Kegagalan pematuhan peraturan melalui Perkara 43.2 membolehkan pasukan dikenakan tindakan atau hukuman, tetapi tidak terhad kepada pemotongan mata perlawanan pasukan," katanya.

FMLLP, Liga Super, Liga Perdana 2017

Artikel Lain