suria

Kim Swee Mahu Tamat Badi Seri Dengan Filipina, Perbaiki Ranking

Ong Kim Swee.

PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mengintai kemenangan ke atas Filipina pada aksi persahabatan antarabangsa 'A' di Stadium Memorial Rizal, Manila, 22 Mac ini selepas seri dalam beberapa pertemuan terdahulu.

Beliau berkata kemenangan ke atas Filipina yang menduduki ranking ke-124 dunia mampu memperbaiki kedudukan Malaysia yang naik satu anak tangga di tempat ke-161 dunia dalam senarai terbaharu yang dikemas kini pada Khamis.

"Bagi saya, perlawanan menentang Filipina ini cukup penting kerana kita sudah hampir empat bulan tidak beraksi untuk perlawanan antarabangsa selepas berakhir kempen Piala Suzuki AFF 2016 pada November lalu.

"Jika dilihat rekod pertemuan kita dengan Filipina, sering kali berakhir dengan keputusan seri.

"Jadi sudah tentu kali ini kita mahukan kemenangan tetapi bukan sesuatu yang mudah kerana Filipina juga pasukan yang baik dan kedudukan ranking mereka jauh lebih baik daripada kita," kata Kim Swee.

Sementara itu, ditanya mengenai senarai nama 23 pemain yang dipanggil untuk kem latihan pusat skuad Harimau Malaysia bermula Isnin ini, Kim Swee berkata, majoriti muka lama dikekalkan kerana persefahaman yang telah dibentuk dalam kem latihan sebelum ini.

Katanya, pemilihan beberapa muka baharu yang tersenarai dibuat berdasarkan prestasi semasa dalam Liga Super 2017.

"Daripada lima pemain yang digugurkan, tiga daripadanya mengalami kecederaan iaitu Ahmad Fakri Saarani, Irfan Fazail dan Darren Lok.

"Muka baharu yang dipanggil pula adalah berdasarkan prestasi baik mereka dalam saingan liga seperti Farizal Harun, Akram Mahinan dan Afif Amiruddin.

"Saya tak boleh melakukan terlalu banyak pertukaran pemain kerana jika kita tukar ramai sangat, kita perlu melakukan sesuatu yang lain dalam tempoh agak terhad ini. Jadi majoriti pemain dipanggil ini sudah memahami apa yang perlu kita lakukan," jelas Kim Swee.

Namun Kim Swee tidak menolak kemungkinan untuk memanggil beberapa nama lain jika terdapat pemain yang mempamerkan persembahan baik pada perlawanan pusingan ketiga Piala FA, malam Sabtu.

"Mungkin selepas perlawanan malam esok, jika ada kecederaan atau sebagainya, kita mungkin akan panggil pemain lain yang menunjukkan prestasi lebih baik kerana kita masih mempunyai masa untuk menyenaraikan pemain jika perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara pada 28 Mac ini diteruskan.

"Sekarang kita masih belum pasti sama ada akan hanya beraksi satu perlawanan bertemu Filipina atau dua perlawanan bertemu Filipina dan Korea Utara. Kita masih menunggu kata putus daripada AFC," katanya.

Kim Swee yang masih berada di Melaka bagi urusan keluarga selepas kematian bapanya pada Selasa lalu turut memberitahu sesi hari pertama kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin depan akan dikendalikan penolong jurulatih kebangsaan, Brad Maloney.

"Saya akan pulang ke Kuala Lumpur pada Selasa selepas segala urusan selesai," katanya.

Ong Kim Swee, Harimau Malaysia

Artikel Lain