suria

Tindakan Boikot Aksi Malaysia-Korea Utara Hanya Keruhkan Keadaan - KJ

CYBERJAYA: Tindakan memboikot aksi perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara yang dijadualkan berlangsung di Pyongyang pada 28 Mac ini hanya akan mengeruhkan keadaan ketika hubungan diplomatik antara kedua-dua negara semakin tegang.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, semua pihak perlu memahami keadaan semasa rakyat Malaysia yang masih tidak dibenarkan keluar dari negara itu.

"Buat masa ini kita tidak mahu membuat apa-apa tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan.

"Jadi, apa sahaja tindakan kita sama ada tindakan diplomatik atau berkaitan dengan sektor lain seperti perdagangan dan sukan, jangan tingkatkan keadaan tegang di antara kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Usahawan Muda di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di sini, Khamis.

Selasa lalu, Korea Utara mengeluarkan arahan melarang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan sebagai tindak balas Malaysia turut mengambil tindakan sama terhadap rakyat Korea Utara di negara ini.

Sementara itu, Khairy berkata, beliau masih lagi menantikan perkembangan terkini dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung status pertukaran venue perlawanan antara Malaysia dan Korea Utara.

Tambah Khairy, beliau yakin badan induk bola sepak asia itu akan akan membuat keputusan tepat mengenai perlawanan kelayakan tersebut berikutan ketegangan politik antara kedua-dua negara.

Pada Rabu dilaporkan AFC menerusi kenyataan yang disiarkan dalam laman webnya bahawa status perlawanan akan diputuskan jawatankuasa pertandingan itu pada minggu ini.

Langkah itu susulan ketegangan diplomatik yang semakin memuncak antara kerajaan kedua-dua negara.

AFC menerima permohonan daripada FAM untuk mengadakan pertemuan menentang Korea Utara di Pyongyang di gelanggang berkecuali.

Artikel Lain