suria

Ilso Larsen Temui Rentak

Pemain Kedah, Ken Ilso Larsen (kiri) diasak dua pemain pasukan Sarawak pada perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Darul Aman pada 27 Januari 2017. - BERNAMA

PENYERANG import Kedah, Ken Ilso Larsen mengakui berjaya memahami rentak permainan skuad Hijau Kuning dan bersedia bagi membantu skuad berkenaan menggegarkan lebih banyak gol.

Pemain kelahiran Denmark itu berkata, sebagai penyerang yang baru bersama pasukan berkenaan, dia perlu memahami corak permainan rakan-rakan untuk melakukan gerakan.

Menurutnya, sebelum ini ketika beraksi bersama Sandro da Silva, dia gagal menjalankan tugas dengan baik kerana tidak mendapat hantaran, namun kini masalah itu telah diatasi.

"Keserasian dengan Sandro adalah faktor utama mengapa saya berjaya menjaringkan dua gol pada perlawanan Sabtu lalu dan kehadiran Liridon Krasniqi yang mengemudi bahagian tengah juga membuka peluang untuk memudahkan pergerakan.

"Saya yakin persefahaman dengan Sandro akan mencapai tahap yang lebih baik, apabila kami sudah difahami oleh semua rakan sepasukan lain, ia akan jadi lebih mudah.

"Setakat ini saya dapat menjaringkan lima gol untuk Liga Super dan satu gol ketika aksi Piala FA. Saya yakin mampu mencapai tahap jaringan yang dapat memuaskan hati Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe dan juga ribuan peminat setia kita," katanya.

Ilso Larsen menambah, dia juga akan membantu rakan-rakan sepasukan untuk turut menghasilkan gol bagi memastikan Kedah terus berada di landasan terbaik untuk merangkul kejuaraan piala.

"Misi setiap perlawanan adalah untuk menang dan saya tidak kisah sesiapa pun yang menjaringkan gol.

"Apa yang lebih penting kita menamatkan permainan itu dengan Kedah memperolehi tiga mata. Saya yakin kemampuan setiap pemain Kedah. 

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang memenuhi Stadium Darul Aman dan memberi sokongan kepada kami sepanjang permainan," jelasnya.