suria

Nadal Hampiri Gelaran Juara Terbuka Mexico Selepas Tundukkan Cilic

Rafael Nadal selepas berjaya menewaskan Marin Cilic, pagi sabtu. -fotoAFP
RAFAEL Nadal menundukkan lawannya dari Croatia, Marin Cilic 6-1, 6-2 untuk mara ke perlawanan akhir Terbuka Mexico, pagi Sabtu.

Memburu kejuaraan pertama musim ini dan yang ke-70 secara keseluruhan, pemain Sepanyol berusia 30 tahun ini menempah tiket untuk beraksi di peringkat akhir selepas berdepan 14 perlawanan dan 28 set permainan.

Nadal, pemain pilihan kedua yang bermain dalam kejohanan pertamanya sejak tewas kepada Roger Federer dalam perlawanan akhir Terbuka Australia akan berdepan pemenang perlawanan separuh akhir antara pemain Amerika Syarikat (AS) Sam Querrey atau pemain Australia Nick Kyrgios pada perlawanan akhir.

Nadal kali terakhir menjuarai gelaran gelanggang keras pada Januari 2014 di Doha.


"Anda perlu mempunyai hari yang baik untuk mendapat keputusan seperti ini apabila menentang Cilic," kata Nadal.

"Pada bila-bila masa apabila anda bermain menentang seseorang seperti Cilic anda akan menjangkakan cabaran hebat dalam perlawanan sengit, tetapi apa yang berlaku tidak seperti itu.

"Saya percaya dia mempunyai peluang, tetapi saya bermain dengan baik," katanya.

Dalam perlawanan wanita, pilihan kedua, Kristina Mladenovic (Perancis) menewaskan pemain AS Christina McHale 7-5, 4-6, 6-2 dan akan menentang pemain Ukraine Lesiia Tsurenko, yang layak ke perlawanan akhir apabila lawannya Mirjana Lucic-Baroni dari Croatia mengalami kecederaan pada set pertama.

Artikel Berikut

Artikel Lain