suria

Tan Cheng Hoe Lega

KETUA Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe mengakui lega dengan situasi semasa pemain yang memberikannya peluang untuk merencanakan yang terbaik ketika turun menentang Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Selayang pada Rabu malam.

Pemenang anugerah jurulatih terbaik itu berkata, kesemua pemain Kedah kini berada dalam keadaan baik untuk digunakan dalam perlawanan menentang naib juara Piala Malaysia musim lalu.

Jelasnya, beberapa pemian import yang mengalami kecederaan sebelum ini juga telah pulih daripada kecederaan dan boleh diturunkan.

Menurutnya, berikutan itu beliau akan memilih kesebelasan utama terbaik bagi berdepan anak didik P. Maniam.

"Saya lega kerana mempunyai banyak pilihan dalam perlawanan kali ini kerana Sandro Da Silva juga telah menunjukkan perkembangan positif selepas mengalami kecederaan.

"Pada masa sama, kita juga ada pemain simpanan dan pemain muda yang telah membuktikan kemampuan mereka dalam perlawanan sebelum ini dengan menghadiahkan kemenangan untuk Kedah.

"Kita bukan sahaja mencari kemenangan demi mengekalkan rekod tanpa kalah malah mahu memastikan ribuan peminat setia Kedah dapat pulang dengan ceria kerana mereka juga penting untuk kami.

"Selain Sandro, kita juga dapat menggunakan khidmat Syazwan Zainon. Kalau bukan dalam kesebelasan utama, dia boleh diturunkan sebagai gantian," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe selain itu turut menuntut pemain Kedah untuk beraksi dengan kemampuan sebenar kerana Selangor sebuah pasukan yang baik.

Jelasnya, pemain Kedah tidak boleh leka dan membiarkan lawan mencipta peluang kerana mereka juga bijak menggunakan ruang yang ada untuk menghasilkan gol.

Kedah, Selangor, Liga Super

Artikel Lain