suria

'Supersub' Ubah Rentak Kedah - TCH

ALOR SETAR: Kemasukan pemain gantian, Muhammad Shafiq Ahmad kembali menyuntik semangat pasukan Lang Merah selepas terikat seri 1-1 di babak separuh masa kedua dalam perlawanan Liga Super Kedah menentang Pulau Pinang di Stadium Darul Aman malam Sabtu.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, mengakui anak buahnya hilang fokus pada separuh masa pertama sehingga pasukan Pulau Pinang mengambil peluang itu dan menjaringkan gol awal pada minit ke-18 menerusi jaringan pemenang Anugerah Puskas, Mohd Faiz Subri.

"Babak kedua permainan kita memasukkan Shafiq dan ternyata, beliau bukan sahaja dapat menjaringkan gol kedua pada minit ke-74, tetapi merubah rentak permainan lebih terbuka, kemas dan teratur, dan menyuntik semangat pasukan," katanya mengikut laporan agensi berita Bernama.

Tan berkata, pasukan Pulau Pinang bermain dengan baik terutama di bahagian pertahanan dan serangan sehingga sukar untuk anak buahnya menembusi pertahanan lawan.

"Kita tahu pasukan Pulau Pinang bila datang ke sini, misi mereka untuk mencuri satu mata atau mahu kemenangan, tetapi kita telah bersedia," katanya.

Dalam pada itu, Kedah dijangka tidak dapat menurunkan Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani pada perlawanan menentang Selangor pada 1 Mac ini kerana mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, katanya, pasukan Kedah akan terus bekerja keras dan memberi tumpuan kepada perlawanan demi perlawanan agar kekal di tangga teratas liga.

Dengan kemenangan malam tadi, Kedah kini mengumpul 14 mata mendahului Pahang (13 mata) dan Selangor (11 mata).

Kedah, Liga Super, Tan Cheng Hoe

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tok Gajah Jangan Leka - Dollah

Artikel Lain