suria

Prestasi Pemain Punca Kelantan Tewas

Pemain Kelantan Mohamad Ghaddar (belakang) dihalang pemain Selangor Muhd Syahmi Safari pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV pada 25 Februari 2017. - BERNAMA

KOTA BHARU: Prestasi pemain bukan pada tahap sebenar menjadi punca Kelantan sekali lagi tewas di halaman sendiri pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV ketika menentang Selangor malam Sabtu.

Sebelum ini, pasukan tersebut yang juga dikenali sebagai The Red Warriors (TRW) turut tewas kepada pasukan Kedah dan Melaka United pada saingan Liga Super di stadium sama minggu lalu.

Penolong Jurulatih Kelantan, Sathit Bensoh berkata para pemain banyak melakukan kesilapan bermula pada minit awal permainan hingga membuka peluang pasukan pelawat menjaringkan gol pada minit ke-3.

"Selepas Selangor menjaringkan gol pertama, ia menyebabkan pemain kita (TRW) hilang keyakinan diri dan tertekan, mereka tidak memberikan tumpuan kepada perlawanan sehingga pelawat sekali lagi menjaringkan gol pada separuh masa kedua perlawanan," katanya kepada pemberita di sini.

Pasukan TRW bimbingan Zahasmi Ismail tewas 0-2 hasil jaringan penyerang import Selangor Juliano Mineiro Fernandes pada mint ke-3 dan minit ke-63 perlawanan.

Beliau berkata pasukannya perlu melakukan sesuatu untuk bangkit pada perlawanan akan datang sama ada di tempat sendiri mahupun di gelanggang lawan, untuk mencari kemenangan.

Beliau berharap kekalahan tiga kali berturut-turut di gelanggang sendiri akan menjadikan pemain lebih bermotivasi, dapat meningkatkan keyakinan diri dan bermain dalam keadaan tiada tekanan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor, P. Maniam berkata kemenangan ke atas pasukan TRW itu adalah hasil daripada komitmen tinggi daripada pemainnya bagi memperoleh tiga mata penuh di tempat lawan.

"Ia satu perlawanan sukar terutamanya bermain di Kota Bharu, namun saya puji dengan tahap disiplin kesemua pemain saya sehingga kami dapat menjaringkan dua gol di sini (Kota Bharu).

"Kemenangan tiga mata penuh ini adalah buat presiden baru kami (Persatuan Bola Sepak Selangor) iaitu Datuk Seri Subahan Kamal dan pihak pengurusan kami," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain