suria

Chong Wei Kekal Bersama BAM - Norza

PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei akan terus setia bersama badan induk itu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria berkata pemenang pingat perak temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro itu memberi jaminan tidak akan meninggalkan BAM pada pertemuan mereka malam Khamis.

Bagaimanapun, beliau tidak memandang ringan perang dingin antara Chong Wei dan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen yang masih berpanjangan dan disifatkan sebagai serius.

"Malam tadi saya dah dapatkan komitmen beliau. Beliau tidak akan tinggalkan BAM.

"Bagi saya perkara yang berlaku sekarang adalah serius. Saya dah katakan pada Chong Wei dan Morten Frost bahawa kita (BAM) akan cari jalan untuk selesaikan masalah ini," kata Norza.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan induk itu di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara dekat sini, pagi Jumaat.

Pada Khamis, Chong Wei memberitahu masih terasa hati dengan kenyataan Frost dan mengakui krisis yang tercetus antara mereka sukar dipulihkan.

Bagaimanapun, Norza tetap positif kemelut antara Chong Wei dan Frost akan diselesaikan secara profesional.

"Bagi saya tidak timbul isu (peluang untuk mereka berbaik). Saya sudah jumpa Chong Wei semalam (Khamis) dan Frost sebentar tadi (Jumaat).

"Saya dah banyak kali katakan kepentingan BAM lebih utama daripada ego masing-masing. Ini perlu diberi tumpuan," katanya.

Ketika ditanya jika kemelut itu masih tidak menunjukkan sebarang petanda akan reda, Norza berkata mereka masih perlu berdamai demi kepentingan BAM.

"Kalau mereka tak baik pun mereka perlu berbaik untuk BAM. Ya, mereka nyatakan sanggup bersikap profesional.

"Chong Wei dah bagi komitmen malam tadi, Frost pun dah bagi komitmen bahawa mereka akan mengikut apa jua keputusan yang dibuat," katanya.

Konflik antara Chong Wei dan Frost bermula selepas pemain itu mengalami kecederaan medial collateral ligament (MCL) dan menyalahkan BAM kerana tidak menghiraukan aduannya mengenai permukaan gelanggang baharu yang licin di ABM.

Lebih memburukkan keadaan apabila Chong Wei naik angin selepas Frost dikatakan mengeluarkan kenyataan yang seakan memintanya bersara kepada jurulatih perseorangan, Hendrawan sehingga mahu bertindak keluar daripada BAM.

Kecederaan itu turut menjejaskan peluang Chong Wei untuk beraksi di Kejohanan Seluruh England yang bermula dari 7-12 Mac depan.

Namun, Chong Wei memberi reaksi positif mengenai peluang untuk beraksi pada kejohanan tersebut tetapi menjelaskan ia bergantung kepada tahap kecergasan serta pemulihan lututnya.


BAM, Lee Chong Wei, Marten Frost

Artikel Lain