suria

Jersi TRW Dipasarkan Sabtu Ini, Harga Baharu RM109

PETALING JAYA: Selepas menunggu kira-kira sebulan, penyokong The Red Warriors (TRW) kini boleh menarik nafas lega apabila jersi pasukan itu akan mula dipasarkan Sabtu ini, dan lebih menarik lagi ia ditawarkan pada harga RM109.

Pengarah Urusan Glow Glowing Beauty Skin yang merupakan penaja bersama TRW, Datuk Mohd Rowi Dollah berkata, harga jersi diturunkan dari RM119 kepada RM109 memandangkan penyokong sabar menunggu untuk memiliki jersi itu.

Beliau berkata, ia mula dipasarkan pada perlawanan Liga Super antara TRW dan Kedah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru, Sabtu ini.

“Peminat boleh mendapatkan jersi pada 18 Februari ini semasa perlawanan TRW menentang Kedah di Kota Bharu.

“Ia mula dijual di sekitar pekarangan stadium dan di mana-mana pengedar sah yang dilantik,” katanya dalam kenyataan kepada mStar Online, petang Rabu.

Mohd Rowi berkata, pada peringkat awal, sebanyak 10,000 jersi TRW akan dikeluarkan, iaitu 6,000 jersi merah, serta masing-masing 2,000 lagi untuk biru dan oren.

Sehubungan itu, beliau meminta semua penyokong pasukan itu supaya membeli jersi TRW yang asli di pasaran.

“Pihak kami mengharapkan kepada semua penyokong yang sayangkan pasukan TRW agar mendapatkan jersi asli. 

“Sedikit-sebanyak hasil jualan jersi yang asli ini dapat membantu tabung pengurusan TRW,” ujar Mohd Rowi.

Pada 26 Januari lalu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun berkata, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan rapi dan penguatkuasaan di setiap pasar malam seluruh negeri, selain sekitar Stadium Sultan Muhammad IV.

Beliau menggesa peniaga dan pengusaha tidak menciplak jersi TRW, malah jika dikesan mempunyai logo TRW, tindakan tegas akan diambil. 

"Bagi individu yang terbabit, sama ada memiliki, mengguna dan menawarkan jersi tiruan kepada mana-mana pihak boleh dikenakan denda RM10,000, manakala syarikat boleh dikenakan denda RM15,000 untuk setiap helai baju yang diciplak," kata Ab Ghani.

Mengikut rekod dari 2008 hingga 2017, sebanyak 35 kes cetakan baju ciplak dengan logo TRW dikesan dan Kafa menanggung kerugian RM242,000.

TRW, Glow Glowing, Kafa, Mohd Rowi Dollah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

CIMB Taja Azizulhasni, Fatehah

Artikel Lain