suria

CIMB Taja Azizulhasni, Fatehah

Azizulhasni (dua dari kiri) menunjukkan pingat emas yang dimenanginya pada Kejohanan Basikal Asia 2017 di New Delhi. Turut bersamanya, Ketua Pegawai Kumpulan CIMB, Datuk Seri Zafrul Aziz (kiri), pelumba wanita negara, Fatehah Mustapa (dua, kanan) dan pelumba wanita negara kategori junior, Siti Nur Alia Mansor. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Selepas kontrak bersama Yayasan Sime Darby tamat, dua pelumba berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa menerima suntikan semangat daripada Kumpulan CIMB yang kini menjadi penaja utama mereka.

Penajaan itu juga seiring dengan pembentukan pasukan CIMB Pro-Cycling yang akan membantu mereka merealisasikan impian bergelar juara pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Pasukan yang baru dibentuk itu turut disertai dua pelumba muda Terengganu, Siti Nur Alia Mansor, 16, dan Muhammad Khalid Nasiruddin, 18, bersama ketua jurulatih trek negara, John Beasley.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata populariti berbasikal yang semakin meningkat mendorong CIMB menyertai sukan ini dengan harapan dapat melahirkan juara.

"Kami menyediakan landasan bagi bakat ini memenuhi potensi yang ada," katanya pada majlis pengumuman pasukan CIMB Pro-Cycling di sini, Rabu.

Menurutnya, sebelum ini CIMB sering memberi penekanan dalam melahirkan bakat atlet di seluruh Asia Tenggara menerusi sukan skuasy, golf, bola sepak serta paralimpik.

Ditanya mengenai jumlah penajaan, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah itu, sebaliknya menyatakan sokongan yang diberi termasuk dari segi kewangan bagi memenuhi keperluan pasukan dalam mengadakan persiapan dan pertandingan menjelang Sukan Olimpik. 

Sementara itu, Azizulhasni yang sebelum ini bersama Yayasan Sime Darby selama lapan tahun bersyukur dengan penajaan baharu tersebut yang dilihat lebih menepati perancangannya untuk ke Sukan Olimpik Tokyo. 

"Secara umumnya, penajaan CIMB bukan hanya untuk kami capai prestasi terbaik semata-mata tetapi dari segi sokongan kewangan untuk bertanding di dalam dan luar negara juga," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain