suria

Rizal Hak Kami - Felda United

Mohd Rizal Ghazali.

PETALING JAYA: Felda United yakin tonggak pertahanan Harimau Malaysia, Mohd Rizal Ghazali tetap hak milik skuad The Fighters.

Setiausaha Agung Felda United Zulkarnain Muhammad berkata, skuad tersebut telah menyerahkan afidavit yang diminta Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Khamis.

"Kita dah hantar afidavit iaitu keterangan dan bukti-bukti yang diminta FAM semalam (Khamis). Kita tetap dengan pendirian, Rizal hak Felda United.

"Kita berharap agar kemelut ini dapat diselesaikan dengan segera," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Ditanya mengenai tarikh Felda United mahupun Kedah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa tersebut Zulkarnain berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

"Kita tunggu sahaja FAM panggil untuk bersidang. Buat masa ini saya tidak tahu bila kita akan dipanggil," katanya.

Isu perebutan antara Felda United dan Kedah terhadap Rizal timbul selepas pemain berusia 24 tahun itu dilaporkan menandatangani perjanjian dengan The Fighters sebelum final Piala Malaysia.

Namun Rizal didakwa membuat pusingan U dengan melanjutkan kontrak setahun bersama skuad Helang Merah meskipun sudah mencapai persetujuan hitam putih untuk menyertai skuad bimbingan Azmi Mohamed.

Kemelut itu masih berlarutan dan ia dijangka selesai selewat-lewatnya minggu depan dengan Jawatankuasa Status FAM akan memanggil Rizal dan wakil kedua-dua persatuan.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) turut sudah menjawab tuntutan balas yang dikemukakan Felda United mengenai isu Rizal yang didakwa antara seorang pemain mereka musim ini pada 27 Januari lalu.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain