suria

Khairy Ambil Saranan TPM, Tolak Jawatan Presiden FAM

KUALA LUMPUR:  Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sedia mengambil kira saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak bertanding jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, katanya, keputusan muktamad akan disahkan dalam tempoh dua minggu lagi selepas perjumpaan dengan persatuan yang mencalonkan beliau. 

"Sudah pasti Timbalan Perdana Menteri sebagai bos saya, saya sudah pasti mengambil kira nasihat beliau, saya hanya perlu mengesahkan sama ada nak bertanding atau tidak dalam masa dua minggu lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Minggu Taáruf bersama pelajar baharu Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM), Khamis. Menurut laporan media semalam, Ahmad Zahid menasihatkan Khairy agak tidakmenawarkan diri atau menerima pencalonan untuk bertanding jawatan presiden tersebut. 

Menurutnya, Khairy seharusnya lebih menumpukan perhatian kepada portfolio yang dipegangnya agar memberikan perhatian kepada semua sukan di Malaysia dan bukan hanya semata-mata kepada sukan bola sepak.

Selain Khairy, FAM mengesahkan tiga lagi dicalonkan untuk menerajui badan induk tersebut iaitu pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bekas timbalan presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat.

Sementara itu Khairy berkata, calon yang bertanding harus mempunyai kapasiti dan pengaruh untuk menjadi seorang presiden FAM yang efektif.

"Individu itu sendiri yang memainkan peranan untuk menerajui kepimpinan FAM dan bukannya disebabkan dia (calon) adalah orang politik atau kerabat diraja,"katanya.-Bernama

Khairy, Presiden FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain