suria

Dua Perkara Buat Zac Anderson Terkejut

PEMAIN import baharu Kedah, Zachary Anderson mengakui telah mendapat suntikan moral untuk beraksi lebih baik ketika menerima kunjungan Sarawak dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada Jumaat malam.

Pemain kelahiran Queensland, Australia itu berkata, dia kagum melihat kesungguhan barisan pemain Kedah yang sentiasa berusaha untuk mendapatkan kemenangan ketika aksi Sumbangsih baru-baru ini.

Baginya, usaha daripada setiap pemain itu telah memberikan pesanan awal atau suntikan moral untuk dirinya bagi menggandakan usaha dalam perlawanan kedua.

Pemain berusia 26 tahun yang mesra dengan panggilan Zac Anderson mewakili Kedah untuk kali pertama sejak menyertai skuad hijau kuning ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Saya telah memilih pasukan yang tepat untuk meneruskan karier sebagai pemain bola profesional kerana Kedah memiliki begitu ramai pemain muda yang sudah menunjukkan bakat di atas padang.

"Bukan setakat aksi Sumbangsih, saya yakin Kedah mampu menjulang lagi piala pada musim ini. Untuk itu saya akan memberikan yang terbaik demi kejayaan pasukan ini, sekali gus membalas budi baik majikan serta penyokong yang sentiasa memberi sokongan.

"Ini kerana saya kagum dengan sokongan daripada peminat di Larkin. Mereka mungkin lebih kurang 300 orang tetapi mampu bersorak sehingga kami berjaya bangkit pada separuh kedua untuk mencatatkan kemenangan," katanya kepada mStar Online.

Zac Anderson selain itu turut berazam untuk memastikan benteng pentahanan Kedah lebih ampuh dan tidak dapat dibocori barisan pemain Sarawak.

"Kami tidak akan memandang rendah kemampuan lawan tetapi kami juga telah melakukan persediaan yang terbaik untuk memastikan kemenangan menjadi milik kita.

"Tiga mata menjadi taruhan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe dan kami semua akan berusaha ke arah itu dalam perlawanan ini," ujarnya.

Kedah, Liga Super, Australia, Sarawak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain