suria

Sukma: Kemudahan Sukan Di Perak Siap Sebelum April 2018

Saarani Mohamad.

IPOH: Kerja-kerja penyelenggaraan, penambahbaikan dan pembinaan baharu kemudahan sukan di Perak bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 dijangka siap sepenuhnya sebelum April tahun depan.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri memberi had tempoh tersebut kepada semua kontraktor yang terlibat dalam projek yang bernilai RM152 juta itu.

"Ada (kemudahan) yang sudah masuk fasa pra-tender, ada yang sudah dikeluarkan tender dan ada juga yang sudah memulakan kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan.

"Kemudahan baharu yang dibina seperti Kompleks Sukan Renang manakala penambahbaikan serta penyelenggaraan untuk Stadium Indera Mulia dan beberapa gelanggang lain," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini Selasa.

Saarani berkata persiapan itu dibuat lebih awal bagi mengelak kemudahan-kemudahan sukan tersebut siap pada saat-saat akhir.

Selain itu, kata Saarani, gelanggang di setiap daerah di Perak seperti Padang Speddy di Teluk Intan, Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Lenggong akan digunakan semasa Sukma nanti.

"Kita mahu setiap daerah sekurang-kurangnya ada satu tempat untuk acara Sukma supaya penduduk di daerah itu dapat melihat acara tersebut," katanya.

Sementara itu, Saarani berkata mesyuarat Exco hari ini melantik Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukma ke-19 yang akan dibantu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Selain itu, katanya Abdul Puhat juga dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana yang akan dibantu Exco Sumber Manusia, Belia dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

"Exco-exco lain dilantik dalam jawatankuasa kecil seperti saya sendiri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil Perasmian dan Penutup Sukma dan juga jawatankuasa kecil penginapan dan makanan," katanya. - BERNAMA


Sukma Ke-19, Perak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain