suria

Coutinho Bakal Terima Gaji Tertinggi Di Anfield

Philippe Coutinho.

PHILIPPE Coutinho dilaporkan akan menjadi pemain menerima bayaran tertinggi di Anfield dalam usaha untuk mengekalkannya bersama Liverpool.

Penyokong Liverpool kini boleh menarik nafas lega selepas pasukan itu semakin hampir untuk memuktamadkan perjanjian dengan Coutinho yang akan menyaksikannya kekal di Anfield selama lima setengah tahun.

Laporan akhbar di England mendakwa perjanjian itu akan dimeterai malam Rabu.

Dalam usaha untuk menyekat perpindahan Coutinho ke Barcelona, The Reds terpaksa membayar 200,000 pound seminggu kepada pemain berusia 24 tahun itu.

Ini bermakna dia akan menerima 57 juta pound untuk tempoh lima setengah tahun itu.

Sementara itu, angka yang disiarkan The Daily Star pada Selasa menunjukkan pengurus Jurgen Klopp muncul penerima gaji tertinggi di Anfield dengan pendapatan sebanyak 221,000 pound manakala enam pemain - Sadio Mane (125,000 pound), James Milner (120,000 pound), Daniel Sturridge (120,000 pound), Joel Matip (112,000), Roberto Firmino (100,000 pound) dan kapten Jordan Henderson (100,000) - menerima gaji enam angka untuk tempoh seminggu.

Menurut akhbar itu, Coutinho yang sebelum ini menerima pendapatan sebanyak 75,000 pound seminggu akan mendapat kenaikan gaji kira-kira 166.66 % jika bayaran gaji terbaharunya meningkat kepada 200,000 pound seminggu.





Philippe Coutinho, Liverpool

Artikel Lain