suria

Bos Nombor Satu F1 Akhirnya 'Digulingkan'

NEW YORK: Syarikat media Amerika Syarikat (AS), Liberty Media melengkapkan proses mengambil-alih sepenuhnya pengurusan Formula Satu (F1) dengan nilai USD8 bilion (RM35.4b) sambil mengesahkan era bos nombor satu sukan perlumbaan itu, Bernie Ecclestone sudah berakhir.

Ecclestone menerajui F1 selama hampir 40 tahun dan peralihan tersebut menyaksikan beliau 'digulingkan' daripada kedudukannya sebagai ketua pegawai eksekutif. 

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Liberty Media mengesahkan Chase Carey sebagai ketua pegawai eksekutif yang baru, dengan Ecclestone memegang peranan selaku pengerusi emeritus.

Kenyataan itu secara jelas mengumumkan Ecclestone, 86, akan bertindak sebagai penasihat kepada ahli lembaga pengarah F1.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Liberty Media, Greg Maffei, berkata, pihaknya berbesar hati kerana melengkapkan proses mengambil-alih pengurusan F1 dan Chase Carey akan menerajui perniagaan ini sebagai ketua pegawai eksekutif.

"Sukan ini boleh dikembangkan lagi dan kami sangat yakin Chase, yang memiliki keupayaan dan pengalaman, merupakan calon tepat.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Bernie Eccleston, yang dilantik sebagai pengerusi emiritus untuk menerajui sukan global ini."

Carey, yang sudahpun menerima perlantikannya, berkata, beliau teruja untuk berperanan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif F1 yang memiliki potensi besar untuk dikembangkan lagi secara meluas.

"Saya gembira menerima pandangan daripada peminat, pasukan, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), penganjur dan penaja. Kami akan bekerjasama untuk menambah pengalaman perlumbaan dan menambah dimensi baru dalam sukan ini dan kami berhajat untuk mengembangkannya."

Sementara itu, Ecclestone berkata, beliau bangga dengan perniagaan diterajui sejak lebih 40 tahun lalu serta pencapaiannya dalam Formula Satu.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada penganjur, pasukan, penaja dan juga syarikat televisyen.

"Saya sangat berbesar hati perniagaan ini telah diambil alih oleh Liberty dan hasrat mereka untuk melabur dalam F1 pada masa akang datang. Saya yakin perlantikan Chase akan membawa kebaikan kepada sukan ini," katanya.

Formula Satu

Artikel Sebelum

Rafael Nadal Mara Ke Suku Akhir

Artikel Berikut

Artikel Lain