suria

Pertembungan Empat Penjuru Rebut Jawatan Presiden FAM

TEKA-TEKI tentang calon  yang bakal merebut kerusi panas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya terjawab apabila empat tokoh dinamakan oleh 20 ahli gabungan badan induk bola sepak negara itu.

Seperti yang diramalkan, pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim antara calon yang dinamakan untuk jawatan presiden badan induk itu pada Kongres Pemilihan FAM ke-53, 25 Mac depan.

Selain Tunku Ismail, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat juga disenaraikan dalam pemilihan tersebut.

Calon kejutan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga dimasukkan dalam senarai untuk bertanding jawatan Presiden FAM.

Senarai keempat-empat calon tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Nama-nama yang telah menerima pencalonan untuk jawatan presiden seperti yang telah kami jangkakan iaitu Khairy Jamaluddin, Tunku Ismail, Tan Sri Aseh Che Mat, dan Tan Sri Annuar Musa.

"Kami akan membuat pengesahan sebelum 13 Februari sama ada mereka benar-benar mahu bertanding sebelum mengumumkan senarai calon akhir pada 20 Februari depan," katanya.

Bagaimanapun Hamidin tidak mendedahkan jumlah pencalonan yang diterima setiap calon.

Kini ahli gabungan atau perwakilan perlu memilih siapa calon yang layak bagi menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan sudah pasti saingan empat penjuru adalah saingan sengit merebut jawatan tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain