suria

Penyokong Chelsea Mahu Martial Sarung Jersi Nombor 9

MASA depan penyerang muda Manchester United, Anthony Martial kembali menjadi tanda-tanya selepas kelibatnya tidak kelihatan ketika sesi latihan bersama skuad Red Devils.

Malah Martial juga tidak diletakkan di bangku simpanan ketika pasukannya sekadar seri 1-1 dengan Stoke City pada Sabtu lalu.

Ditanya tentang Martial, pengurus United, Jose Mourinho berkata:

"Martial tidak dipilih."

Susulan perkembangan itu, beberapa media di Perancis melaporkan tentang kekecewaan Martial terhadap layanan yang diberikan Mourinho terhadap dirinya.

Selain itu, penyerang berusia 21 tahun tersebut juga semakin kecewa kerana tidak berpeluang untuk bermain dengan lebih kerap.

Martial hanya memulakan sembilan perlawanan Liga Perdana Inggeris sepanjang musim ini dan gagal menempatkan diri sebagai kesebelasan utama.

Di sebalik kebimbangan peminat United tentang masa depan Martial di Old Trafford, penyokong Chelsea mengambil kesempatan dengan menggesa pendahulu liga itu menyambar bintang Perancis itu.

Penyokong The Blues menyuarakan hasrat mereka menerusi laman sosial Twitter untuk melihat Martial menyarung jersi Chelsea dan mengisi kekosongan nombor 9 yang kali terakhir dipakai oleh Radamel Falcao.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain