suria

Mara, Anak Syarikat Tak Pernah Taja TRW - Annuar

Annuar Musa.

PETALING JAYA: Tan Sri Annuar Musa menjelaskan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW) tidak pernah menerima tajaan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) atau mana-mana anak syarikatnya.

Menurut bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu, logo Mara 50 Tahun pada lengan jersi TRW 2016 bukan tajaan, sebaliknya ia diberikan percuma kepada agensi berkenaan.

"Ada yang kata saya pakai duit Mara, duit biasiswa Mara untuk taja TRW. Saya rasa tak rugi kalau kita belajar menyelidik sedikit supaya kita kelihatan ada daya intelektual dan ada kebenaran, dari kita pungut semua khabar angin.

"Untuk makluman semua, Mara tidak pernah menaja TRW walau satu sen. Logo Mara 50 tahun dipamerkan di lengan jersi TRW 2016 diberikan secara percuma kepada Mara walaupun ruangan itu bernilai RM250,000," katanya di halaman Facebooknya pada Khamis.

Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa Mara melalui Pelaburan Mara Berhad dan UniKL menyalurkan dana kepada TRW. 

Menerusi kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers pada Khamis, TMJ  turut memuat naik beberapa gambar-gambar surat permohonan tajaan daripada TRW kepada Pelaburan Mara dan UniKL, baucar pembayaran dan slip deposit cek yang dibayar kepada TRW pada 2016.

Menurut Annuar lagi, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) misalnya, sebagai syarikat swasta tidak pernah menaja atau memberi biasiswa kepada pelajarnya, sekali gus tidak timbul universiti itu menggunakan dana biasiswa atau tajaan.

Ini kerana katanya, UniKL mempunyai polisi sendiri terutama dalam soal penjenamaan, promosi dan pemasaran yang mana mereka mempunyai peruntukan khas untuk perkara tersebut.

"Mereka (UniKL) ada bajet, dasar prosedur tersendiri, maka semuanya tidak melalui paksaan, titah atau sabda," sindir Annuar.

Annuar berkata, fakta yang diberikan ini bagi membolehkan semua pihak termasuk rakan media supaya dapat menyemak sumber dan laporan masing-masing.

"Saya ridak berminat untuk terlibat atau terjebak dalam polimik dengan mana-mana individu secara langsung atau menyerang balas kerana mereka itu kawan-kawan belaka.

"Sebagai kawan, kita dah kenal sesama kita. Kalau kawan silap, kita tidak perlu panjangkan. Kita maafkan sajalah," katanya.

Annuar dengan nada berkias berkata, "Pesan pada ikan, jangan banyak membuka mulut... kerana ikan yang membuka mulutlah biasanya mudah terkena pancing.

"Jadi, kawan-kawan media, teruskan membuat catatan dan jangan tersalah 'pendrive' anda. Pastikan fakta anda tepat."

TRW, TMJ, Annuar Musa, Mara, UniKL

Artikel Lain