suria

30 Saat Yang Memperlihatkan Wajah Sebenar Kita

Faiz dirai bak wira semasa tiba di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Dubai, petang Rabu.

KUALA LUMPUR: Kekurangan Faiz Subri itulah menampakkan wajah sebenar kita.

Sejak saat Faiz menjaringkan gol menentang Pahang awal tahun lalu, ada semacam asbab baharu untuk rakyat Malaysia bersatu.

Daripada saat desakan di media sosial supaya FAM hantar pencalonan untuk Anugerah Puskas, kemudian dolak-dalik FAM jawab itu ini dilawan balik oleh rakyat, akhirnya FAM meneruskan dengan urusan menghantar penyertaan.

Buat peminat bola sepak negara, itu adalah kemenangan yang pertama. Sesudah dicalonkan, kisah Faiz Subri senyap seketika.

Pasukan Pulau Pinang menamatkan saingan dengan keputusan yang ala kadar sahaja.

Buat sementara nama Faiz lekang daripada bualan peminat bola sepak negara.

Kejayaan JDT memenangi Liga Super buat kali ketiga dan hebatnya Tan Cheng Hoe serta anak-anak buahnya memenangi Piala Malaysia menjadi tumpuan kita.

Tidak lama selepas itu, negara diberitahu bahawa undian sudah dibuka, kebetulan pada masa sama pelawak sensasi Harith Iskander juga memerlukan sokongan rakyat Malaysia untuk pertandingan manusia paling lucu di dunia yang disertainya.

Tanpa berdalih kita kerja tanpa disuruh. Dengan kekuatan sebahagian besar daripada 20.1 juta, pengguna internet berganding bahu. Ada yang berkempen dengan pelbagai cara kempennya.

Bagi yang mengundi pula pukul canang beritahu sudah mengundi dan mengajak orang lain pun turut serta.

Di mana sahaja kita dapat melihat kempen yang begitu gigih kita kerjakan secara bersama.

Di Facebook, Instagram, Twitter, bahkan dalam grup Whatsapp surau dan masjid pun ada yang kempen juga!

Ia seakan sebuah pesta yang kita sama-sama raikan dan sama-sama nikmati.

Ia adalah satu saat yang indah buat kesatuan bangsa di negara ini.

Kerja keras ini membuahkan hasil. Faiz tersenarai antara tiga penerima undi tertinggi.

Sekali lagi rakyat Malaysia berpadu tenaga untuk memastikan Faiz menjulang kemenangan!

Kempen kembali dibuat. Kali ini memang tekan minyak sepenuhnya.

Bak kata orang putih, "It is now or never!"

Modal yang diguna dalam mesej yang diterima penulis menggunakan sentimen emosi 'Faiz kini di tangga ketiga, ini mungkin kali pertama dan terakhir pemain Malaysia berpeluang menang anugerah FIFA'.

Ternyata strategi ini menjadi. Sampai saat akhir pada 9 Jan, masih ada yang berkempen.

Di jam-jam terakhir sebelum undian tutup, pelbagai ruangan sukan dan bola sepak merayu undi rakyat Malaysia melalui Facebook, Twitter dan Instagram.

Ya, memang ada undian orang dari negara lain tetapi apa yang ditekankan di sini, sebagai rakyat negara ini kita nampak kepentingan untuk menaikkan nama negara di persada dunia.

Malangnya, sudah menjadi lumrah mana-mana perjuangan, di saat hampir sangat ke kemenangan itulah terjadinya ujian yang dahsyat.

Dimulakan dengan pakaian Faiz dijadikan isu.

Baju Melayu yang mana nak dipakai, mana yang lebih sesuai? Terjadilah peperangan di Facebook.

Yang sokong Baju Melayu dengan hujahnya, yang pro keris pula ada jusitifikasi sendiri, yang tak kisah baju apa pun mahu juga bersuara.

Akhirnya Faiz memilih berpakaian formal ala barat, sekali lagi beliau menjadi sasaran sindiran netizen.

Tambahan pula seorang daripada pengacara majlis pakai baju yang menampakkan bahu, bertambah-tambah lagi kritikan dilemparkan terhadap Faiz.

Sekali lagi ada yang mengutuk dan ada juga yang mempertahankan. Namun kisah ini belum berakhir.

Di saat beliau diumumkan sebagai juara. Seluruh negara semua bersorak gembira. Faiz berjalan gagah ke pentas untuk terima plak kemenangan daripada legenda Brazil, Ronaldo.

Bukan sedikit antara kita yang berjaga malam untuk menonton majlis ini secara langsung. Apabila keputusan diumumkan, masing-masing mengurut dada tanda bangga.

Datang satu lagi ujian. Di saat Faiz di puncak kejayaanlah, kutukan terbesar diterima.

Dalam masa tak sampai 30 saat daripada pengumuman yang mana kita semua berlinang air mata tadi, kegagalan beliau menghidupkan telefon, membuka teks ucapan dan menyampaikan ucapan dalam Bahasa Inggeris yang fasih dijadikan asas baharu serangan terhadapnya.

"Kenapa letak ucapan dalam telefon?" "Kenapa tak cakap Melayu sahaja?" "Malulah cakap Inggeris tergagap-gagap" "This is not the reflection of real Malaysians English standard" (ini tidak menunjukkan standard sebenar banasa Inggeris di Malaysia).

Pelbagai komen dilontar. Bermulalah satu lagi pertandingan kutukan yang sekali lagi menjadikan kita terbahagi kepada yang mengeji dan yang mempertahankan.

Meminjam kata pengkiritik sukan, Daniyal Kadir, kejayaan Faiz menjaringkan gol itu atas kapasiti kemampuan individu.

Cuma kali ini sebab dia di sana dan ada perkataan 'Malaysia' di kulit passport beliau, rakyat Malaysia seluruhnya merasa punya 'saham' dalam proses kemenangan ini.

Ya, kita memang ada saham untuk menyokong beliau dengan mengundi. Namun itu tidak menjadikan kita sebagai 'tuan besar' yang harus dipuaskan hatinya olah Faiz Subri.

Mudah cerita, rentetan kisah Faiz inilah sebenarnya wajah kita. Orang Malaysia yang acap kali berbangga sebagai bangsa yang santun, berpekerti tinggi, punya kualiti dan bijak serba-serbi.

Tanya balik diri sendiri, bagus sangatkah kita? Tangan kanan kita bekerja keras membangun kejayaan.

Dan di saat kejayaan menjelma kita serahkan piala ke tangan kiri yang menukar ia kepada kemusnahan.

Cuma 30 saat. Itulah sela masa yang diperlukan untuk menjatuhkan kejayaan yang gigih dibina kita semua sepanjang tahun 2016. (Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA akan apa yang dinyatakan oleh penulis)  - BERNAMA

Artikel Lain