suria

Hoki: Farah Ayuni Perlu Kerja Keras Pulih Keyakinan, Kecergasan

KUALA LUMPUR: Penjaga gawang skuad hoki wanita kebangsaan, Farah Ayuni Yahya terpaksa bekerja keras mendapatkan kembali keyakinan dan kecergasannya dalam masa seminggu, sebelum pusingan kedua Liga Hoki Dunia (WHWL) membuka tirai bermula 14-22 Januari ini.

Pemain berusia 27 tahun itu mengakui masih belum mencapai tahap keyakinan maksimumnya setelah kembali ke skuad Malaysian Tigress selepas tidak bersama skuad itu selama 40 hari kerana menjalani kursus latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun, beliau yakin tiga aksi persahabatan menentang Ireland pada 9 Januari dan Wales pada 10 dan 12 Jan ini, dapat membantunya kembali ke tahap terbaik untuk membantu Malaysia mencapai sasaran mara ke final pusingan kedua liga itu di Stadium Hoki Tun Razak, di sini.

"Setiap kali saya turun padang, saya kena bekerja keras untuk mendapatkan keyakinan dan kecergasan kerana kejohanan akan bermula tak lagi. Saya juga tidak dapat menyertai siri jelajah ke Australia dan New Zealand sebelum ini kerana mempunyai latihan khas di Pusat Latihan Polis Ulu Kinta, Perak, masa itu.

"Mungkin sekarang ini kurang keyakinan kerana masih dalam latihan. Saya harap aksi persahabatan bersama Ireland dan Wales dapat membantu saya mendapat keyakinan selain menguji kekuatan pasukan lawan," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di sini, Rabu.

Sebelum ini, Farah Ayuni meraih gelaran penjaga gol terbaik Asia pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Singapura, Nov lalu, walaupun sebelum itu tidak menyarung jersi kebangsaan hampir lima bulan.

Sementara itu, kapten skuad hoki wanita Siti Noor Amarina Ruhani mengakui kepulangan Farah Ayuni menceriakan kem negara, berkata fokus di bahagian pertahanan sangat penting untuk melakarkan keputusan positif sepanjang kejohanan tersebut.

"Disiplin di bahagian pertahanan sangat penting untuk pasukan, terutamanya ketika bertemu pasukan pilihan seperti Ireland dan Itali yang akan memberikan cabaran hebat kepada kami. Jaringan melalui pukulan sudut dan pertahanan pukulan sudut juga sangat penting.

"Saya berharap kami dapat menggunakan aksi persahabatan dengan baik untuk membaca dan menguji corak perlawanan, taktikal, kekuatan dan kelemahan pasukan lawan di samping memperbaiki kekurangan kami," katanya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan cabaran mereka menentang Hong Kong pada 14 Jan, diikuti Ireland (16 Jan) dan Kazakstan (17 Jan) manakala Kumpulan A terdiri daripada Itali, Wales, Thailand dan Singapura.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah menganggap bahawa cabaran sebenar untuk skuad negara bermula pada peringkat suku akhir, yang bakal menyaksikan kesemua pasukan bersaing bagi mencatat kemenangan untukmara ke pusingan seterusnya.

"Sangat penting bagi kami berada di kedudukan teratas kumpulan dalam pusingan awal bagi meletakkan kami pada kedudukan terbaik untuk menentang pasukan yang berada di peringkat bawah dalam peringkat suku akhir dan bergerak ke depan dari situ.

"Kami berharap dapat berada pada kedudukan dua teratas bagi memastikan tiket ke pusingan separuh akhir liga dunia. Jadi mesti berazam berada di kedudukan teratas Kumpulan B yang bermakna menang tiga mata menentang Ireland dalam pertandingan peringkat kumpulan," katanya.

Hanya tiga pasukan terbaik kejohanan itu akan mara ke pusingan separuh akhir WHWL untuk melalui cabaran getir menentang pasukan-pasukan seperti Belanda, Australia, Argentina, England dan Jerman untuk mengejar tiket ke Piala Dunia 2018 di London. -Bernama

Skuad hoki Wanita, Liga Dunia

Artikel Sebelum

Artikel Lain