suria

Kafa Tunggu Bantuan Yang Dijanjikan Kerajaan Negeri

Afandi Hamzah

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sedang menunggu bentuk bantuan yang bakal dihulurkan kerajaan negeri bagi membolehkan Kelantan terus kekal beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata esok (Khamis) adalah hariterakhir bagi kerajaan negeri menyatakan bentuk bantuan yang akan diberikan kepada Kafa yang sedang menghadapi masalah kewangan kritikal.

"Setakat ini, kita masih berpegang kepada hasil perbincangan antara Kafa dankerajaan negeri sebelum ini dan Kafa sudah memberikan segala penjelasan mengenai masalah kewangan yang dihadapi," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Turut hadir bekas Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa yang enggan memberi sebarang ulasan berhubung isu kewangan badan induk sukan bola sepak negeri ini.

Kafa akan memutuskan sama ada kekal atau menarik diri daripada menyertai Liga-M pada Jumaat ini iaitu hari terakhir pendaftaran pemain dalam liga tersebut.

Persatuan itu dilaporkan mahu menarik diri daripada Liga-M 2017 memandangkan Kafa hanya mempunyai RM800,000 hasil sumbangan penaja kecil sedangkan mereka memerlukan kira-kira RM15 juta untuk kos keseluruhan pasukan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abd Fattah Mahmood berkata kerajaan negeri bercadang tidak mengenakan cukai hiburan bagi perlawanan Liga M di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri ingin melihat Kelantan kekal beraksi dalam Liga M dan tidak ingin memberikan sebarang tekanan kepada Kafa.

"Kita akan berusaha membantu dan mana-mana penaja yang ingin menaja diharapakan terus kepada Kafa. Kita juga akan menghubungi pihak penaja untuk dilakukan perbincangan," katanya. -Bernama

Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah

Artikel Berikut

Artikel Lain