suria

Mohamad Yakin Pemain Import Mampu Beraksi Cemerlang

Pemain-pemain pasukan bolasepak Negeri Sembilan musim 2017 bergambar pada Majlis Memperkenalkan Pasukan Liga Premier, Piala Presiden dan Piala Belia 2017 Negeri Sembilan pada Rabu. Foto: Bernama

SEREMBAN: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan yakin empat pemain import yang dipilih mewakili pasukan itu adalah yang berkualiti dan mampu membawa negeri ini melangkah ke Liga Super bagi musim 2018.

Mohamad berkata mengambil pengajaran dari musim lepas, yang mana pemain-pemain import dipilih dalam keadaan tergesa-gesa dan hanya mendengar kata-kata ejen sahaja, tahun ini pemain import diuji sama ada boleh bermain dengan baik atau tidak.

"Untuk musim ini, kita uji 30 pemain import dan apa yang kita putuskan ini merupakan pemain yang ada reputasi yang baik, mewakili kelab yang bagus dan serasi dengan pasukan kita. Sebagai contoh pemain import yang berasal dari Croatia, Simic Marko, merupakan penjaring terbanyak bagi Liga Vietnam. Seorang lagi pemain yang berasal dari England, Lee Andrew Tuck, pernah mewakili Kelab Abahani Limited FCyang menjuarai Liga Bangladesh pada tahun lepas," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian selepas Majlis Memperkenalkan Pasukan Liga Perdana, Presiden dan Piala Belia, yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan.

Dua lagi pemain import yang mewakili Negeri Sembilan ialah Suzukicastanheira Brunojunichi yang berasal dari Jepun dan Vidic Nemanja yang berasal dari Serbia.

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata pemilihan kali ini dibuat denganberhati-hati kerana tidak mahu mengulangi kekalahan musim lepas yang mana antara punca kekalahan pasukan Negeri Sembilan adalah disebabkan sikap pemain yang merasa amat selesa dan tiada semangat kesatuan daripada pemain import.

"Wujudnya perasaan tak puas hati antara pemain, berpura-pura cedera sebab tidak mahu bermain dan menggugut pihak pengurusan. Ini semua antara faktor kenapa pasukan kita kacau bilau. Saya harap perkara ini tidak berulang pada musim ini," katanya.

Beliau berkata walaupun pasukan negeri ini tidak mempunyai pemain bintang dalam senarai pemainnya, ia tidak menjadi penghalang untuk pasukan mencatat kemenangan.

"Saya lebih gemar kami dianggap sebagai bukan pilihan, tiada pemain bintang. Saya percaya dengan kualiti pemain import, mereka boleh membantu pasukan kita. Apa yang membuat sesebuah pasukan bagus ialah pemain import yang bagus,"katanya.

Mohamad berkata tidak seperti musim lepas yang mana insentif bonus dijanjikan setiap kali mencatat kemenangan, pada musim ini insentif bonus akan dipertimbang berdasarkan prestasi pemain.

"Saya harap matlamat PBNS untuk melihat pasukan beraksi semula di Liga Super akan jadi kenyataan pada 2018," katanya.

Sementara itu Ketua Jurulatih Negeri Sembilan Mohd Asri Ninggal berkata, sepanjang tempoh sebulan latihan dijalankan, beliau dapat lihat adanya semangat berpasukan dalam kalangan pemain.

"Saya tekankan setiap perlawanan adalah perlawanan akhir, kami menyasarkan untuk mengutip tiga mata setiap perlawanan.  Yang paling mustahak adalah semangat berpasukan dan bangga mewakili Negeri Sembilan, katanya.

Di majlis itu, Mohamad turut memperkenalkan penaja pasukan Negeri Sembilan iaitu Matrix Concept Holdings Bhd, Negeri Roadstone Sdn Bhd, Hospital Pakar Salam, Mizuno, Seri Pajam Development Sdn Bhd dan Mega 3 Housing Sdn Bhd. -Bernama

Negeri Sembilan, Liga Perdana

Artikel Lain