suria

Sukan SEA Dianjur Secara Berhemat - Tunku Imran

Tunku Imran bersama Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Datuk Seri Zolkples Embong (dua, kanan), Ketua Pengarah Penyiaran RTM Datuk Abu Bakar Ab Rahim (dua, kiri), Pengurus Besar Astro Arena John Nienaber (kanan) dan Pengurus Jenama, Rangkaian TV Media Prima Feisal Abd Malek (kiri) bergambar bersama maskot Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang diberi nama 'Rimau' pada Taklimat Badan- Badan Penyiar Asia Tenggara bagi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Jumaat. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Sukan SEA ke-29 tahun depan akan dianjurkan secara berhemat dengan menggunakan semua kemudahan sedia ada, kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar.

Menurutnya, penganjur akan menggunakan sepenuhnya kemudahan yang ada, selain cuba mengelakkan pembaziran.

Beliau berkata selepas menyenaraikan jumlah sukan yang akan dipertandingkan, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN (MASOC) ketika ini merancang perbelanjaan untuk temasya tersebut.

"Selepas mengeluarkan senarai sukan pada Julai lepas, kami kini merancang perbelanjaan mengikut bajet yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini," kata Tunku Imran yang juga Pengerusi Persekutuan Sukan SEA.

Tunku Imran yang ditemui selepas merasmikan taklimat badan penyiar Asia Tenggara bagi Sukan SEA Kuala Lumpur, di sini Jumaat, berkata kerja penambahbaikan di kebanyakan gelanggang pertandingan telah bermula.

Gelanggang pertandingan Sukan SEA 2017 terletak di 25 lokasi sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Langkawi.

"Kami cuba mencari gelanggang yang terletak di kawasan ikonik, contohnya acara memanah yang akan diadakan di Dataran Merdeka iaitu di mana Perdana Menteri yang pertama mengisytiharkan kemerdekaan pada 1957," kata Tunku Imran.

Bagi sukan dalam dewan, beliau berkata MASOC akan memperkenalkan tiga lokasi untuk mengadakan sukan itu iaitu Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kompleks Sukan Bukit Jalil dan Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

"Kita bernasib baik MITEC akan dibuka Disember ini dan ia sesuai untuk sukan dalam dewan. Namun, lokasi sebenar untuk sukan dalam dewan masih belum ditentukan," katanya.

MITEC adalah komponen pertama pembangunan KL Metropolis di kawasan seluas 30.55 hektar yang dibangunkan Naza TTDI di Jalan Duta, di sini.

Terdahulu dalam ucapannya, Tunku Imran berkata badan penyiar mempunyai tanggungjawab untuk memberi liputan sukan terbaik kepada penonton serta membantu syarikat yang mahu mewujudkan atau meningkatkan kesedaran jenama mereka.

"Dalam konteks ini, badan penyiar mempunyai peluang keemasan untuk membantu bakal pelanggan mereka mendekati lebih daripada 600 juta orang di Asia Tenggara," katanya.

Menurutnya kerja keras dalam perkara itu akan memberi pulangan yang lebih tinggi ke atas pelaburan syarikat, seperti yang terbukti dalam edisi-edisi Sukan SEA sebelum ini. - BERNAMA

Sukan SEA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain