suria

Putra Polo Selangkah Kekalkan Kejuaraan Terbuka Malaysia

Khairy berbincang sesuatu dengan rakan sepasukan Rizal Ashram (kiri) ketika mewakili pasukan Jogo Polo pada Kejohanan Polo Terbuka Malaysia 2016 menentang pasukan Putra Polo di Taman Ekuestrian Putrajaya pada Khamis. fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Pasukan Putra Polo hanya selangkah daripada mengekalkan kejuaraan Kejohanan Polo Terbuka Malaysia selepas mengalahkan Jogo Polo 9-7 di separuh akhir di Taman Ekuestrian Putrajaya di sini.

Putra Polo yang diketuai Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria terpaksa bangkit sebelum dapat ke final selepas ketinggalan 2-3 pada chukka pertama dan terikat 5-5 pada chukka kedua.

Hanya kebangkitan di dua chukka terakhir membolehkan Putra Polo mendahului 8-6 pada chukka ketiga sebelum melengkapkan kemenangan 9-7 di chukka terakhir.

Dua pemain Argentina memberi kelebihan kepada Putra Polo dengan lapan gol dihasilkan Miguel Angel Diaz dan satu jaringan oleh Diego Gomez.

Federico Rooney yang juga berasal dari Argentina turut menghasilkan kesemua gol buat Jogo Polo.

Mohamad Norza berkata bukan mudah untuk mengalahkan Jogo Polo yang diketuai Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana lawan itu mempamerkan saingan sengit sehingga tamat perlawanan.

"Perlawanan sangat sengit, hanya pada chukka ketiga dan keempat, kita berjaya mendahului Jogo Polo. Sebagai juara bertahan saya gembira dengan prestasi pasukan.

"Saingan kali ini berbeza daripada tahun lepas terutama dalam aspek penyertaan pasukan yang lebih sengit. Jadi harapan terakhir kami adalah untuk mengalahkan Head Hunters dari Singapura pada final nanti," katanya kepada pemberita.

Head Hunters mara ke final selepas menewaskan La Familia/Kota SAS 8-7 pada Rabu.

Sementara itu, Khairy berkata walaupun kecewa dengan kekalahan tersebut, beliau tetap puas hati dengan corak permainan rakan sepasukannya.

"Sememangnya kami kecewa selepas tahun lepas juga tewas di separuh akhir tetapi itulah sukan. Perlawanan hari ini cukup sengit, kami hampir mengatasi Putra Polo tetapi mereka layak untuk menang.

"Saya harap Putra Polo dapat mengekalkan kejuaraan mereka pada final nanti," kata Khairy. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Juara Gigit Jari

Artikel Berikut

Artikel Lain