suria

Jelajah Malaysia 2016: Harrif Tamat Penguasaan Pelumba Iran

Mohd Hariff mengungguli peringkat ketiga Jelajah Malaysia 2016 yang meliputi perjalanan sejauh 169.1 kilometer yang bermula dari Gua Musang ke Pasir Puteh pada Khamis. fotoBERNAMA

PASIR PUTEH: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh menamatkan penguasaan pelumba Iran selepas memenangi perlumbaan peringkat ketiga Kejohanan Berbasikal Jelajah Malaysia dari Gua Musang ke Pasir Puteh, Khamis.

Pelumba berusia 28 tahun itu nyata bergelut pada awal perlumbaan sejauh 169.10km itu yang melibatkan tiga zon pendakian iaitu di Gua Musang, Chiku dan Paloh sebelum bangkit pada 25 meter terakhir untuk memintas pelumba Korea Selatan, Park Sung Baek daripada pasukan KSPO.

Ketua juri memutuskan untuk memberi masa yang sama iaitu 4 jam 49 saat kepada tujuh pelumba teratas selepas menamatkan perlumbaan secara berkelompok.

Kejayaan sulung tersebut menyaksikan Mohd Harrif turut merampas jersi Biru selaku Raja Bukit daripada pelumba Iran, Rahim Emami yang mewakili pasukan Pishgaman Giant, dengan kutipan 30 mata.

Beliau yang ditemui pemberita selepas perlumbaan berkenaan mengakui kemenangan yang dicapainya bukan mudah kerana terpaksa mengejar kelompok yang membuat pecutan awal.

"Laluan hari ini agak mencabar kerana terdapat beberapa laluan berbukit yang agak tinggi dan apabila tiba di zon pecutan, saya dan abang sama, Mohd Zamri terus memecut ke garisan penamat.

"Pecahan di antara pelumba hari ini agak jauh kerana tiga pelumba melakukan pecutan awal tetapi kami berpakat dengan pasukan Pishgaman Giant supaya jarak antara kelompok pemisah dan kumpulan peloton tidak jauh dan akhirnya kami berjaya mengejar semula kumpulan berkenaan," kata Mohd Harrif.

Pada masa sama, beliau bertekad untuk mengekalkan jersi Biru selain mengintai kedudukan podium seterusnya pada peringkat terakhir dari Kemaman ke Kuala Terengganu sejauh 142.70km pada Sabtu.

Turut berkongsi pandangan sama dengan Mohd Harrif adalah ketua jurulatih merangkap pengurus TSG, Adam Szabo yang gembira dengan strategi pasukannya membuat asakan di bahagian akhir perlumbaan, yang berjalan lancar.

"Kemenangan ini pasti memberikan motivasi kepada pelumba kami untuk memberi aksi terbaik apabila berlumba di laman sendiri dalam dua peringkat terakhir dan saya jangkakan mereka mampu memberikan aksi lebih baik dalam perlumbaan seterusnya," kata Szabo.

Peringkat keempat Jelajah Malaysia pada Jumaat melibatkan jarak sejauh 125.20km dari Machang ke Gong Badak dengan tiga zon pecutan di Jerteh, Rhu dan Mengabang Lekor. - BERNAMA

Artikel Lain