suria

KJ Hairan Abu Samah Tidak Tahu Prosedur Mohon Jadi Tuan Rumah

Khairy berucap pada majlis Penyampaian Hadiah #HSNChallengeYourself dan Cabutan Bertuah Hari Sukan Negara 21km di kementeriannya pada Khamis. fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hairan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab tidak mengetahui prosedur sebelum membida acara trek Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018.

Khairy berkata Abu Samah, selaku presiden yang menerajui badan induk sukan itu lebih 20 tahun, sepatutnya mengetahui tentang Akta Pembangunan Sukan 1997 iaitu perlu dipatuhi sekiranya mahu menjadi tuan rumah bagi kejohanan bertaraf antarabangsa.

"Sudah 26 tahun beliau menjadi Presiden, tidak mungkin beliau tidak tahu berkenaan akta ini, sebab ini Akta Pembangunan Sukan 1997.

"Saya tidak ada masalah dengan Datuk Abu Samah ataupun PKBM, tetapi akta itu digubal supaya dipatuhi semua pihak. Lain kali mana-mana persatuan atau individu yang ingin membuat bidaan menganjur acara sukan antarabangsa mesti mendapat kelulusan menteri," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Hari Sukan Negara #HSNChallengeYourself dan cabutan bertuah HSN21 kilometer di Menara KBS, di sini.

Menurut laporan berita portal tempatan, Abu Samah berkata beliau tidak mengetahui garis panduan seperti yang termaktub dalam Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 yang memerlukan kelulusan menteri bagi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa.

Khairy berkata beliau telah meminta Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman mendapatkan maklumat tentang perkara berkenaan untuk tindakan lanjut.

PKBM telah membida untuk menjadi tuan rumah Kejohanan ACC 2018 bersama Thailand dan Korea Selatan, namun dua negara tersebut menarik diri yang membolehkan Malaysia mendapat hak penganjuran.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata beliau tidak boleh membuat keputusan berhubung rayuan kedua atlet bina badan, Sazali Samad yang sedang menjalani hukuman gantung empat tahun akibat positif doping.

Khairy berkata selaku menteri, beliau sentiasa menyokong mana-mana atlet yang memohon rayuan kedua apabila didapati positif doping, namun keputusan akhir tetap pada persatuan kebangsaan sukan itu sendiri.

"Bukan saya yang menentukan rayuan itu berjaya atau tidak, rayuan perlu dibuat kepada persatuan sukan berkenaan," katanya.

Jaguh bina badan, Sazali bakal mengemukakan rayuan kedua kepada Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) bagi mengurangkan tempoh penggantungan daripada empat tahun kepada dua tahun.

Juara Mr Universe 10 kali itu digantung empat tahun selepas gagal dalam ujian doping yang dijalankan Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) pada 1 September tahun lepas.

Selain sokongan rayuan daripada KBS, Sazali telah mendapat sokongan Majlis Sukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Mac lepas untuk memendekkan tempoh hukumannya itu. - BERNAMA

Artikel Lain