suria

Juara Gigit Jari

Pemain Malaysia, Fitri Saari (kiri) diasak pemain Pakistan, Fareed Ahmed pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Stadium Hoki Kuantan, Khamis. fotoBERNAMA

KUANTAN: Malaysia membuka langkah kanan pada Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2016 selepas membenam juara bertahan Pakistan 4-2 pada perlawanan pembukaan di Stadium Hoki Kuantan di sini, malam Khamis.

Malaysia menampilkan aksi bertenaga serta gerak atur kemas selepas Firhan Ashari menyuntik semangat pasukan dengan menghadiahkan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-13.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Pakistan mengubah corak perlawanan dengan melancarkan serangan terhadap benteng pertahanan negara menerusi percubaan barisan serangan lawan.

Lima minit kemudian, pakar pukulan sudut, Muhammad Aleem Bilal menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti sebelum membantu Pakistan mendahului 2-1 dengan percubaan sama pada minit ke-34.

Bagaimanapun, dua minit kemudian, perlawanan terpaksa ditangguhkan selama 15 minit berikutan hujan lebat.

Sebaik perlawanan disambung semula, skuad bimbingan Stephen Van Huizen, mula memperkemaskan permainan dengan memberi tekanan kepada Pakistan menerusi beberapa percubaan di kawasan bahaya pasukan lawan.

Usaha merobek gawang lawan akhir berhasil apabila penyerang berbisa negara, Faizal Saari mengikat Pakistan dengan jaringan penalti pada minit ke-37.

Gol penyamaan tersebut telah membakar semangat pasukan untuk meningkat usaha memburu kemenangan sebelum skuad negara dikenali 'The Speedy Tigers' dihadiahkan pukulan sudut penalti.

Pemain berpengalaman Shahril Saabah meletakkan Malaysia di hadapan sekali lagi selepas menyempurnakan percubaan tersebut pada minit ke-41.

Faizal Saari mengesahkan kemenangan muktlak skuad negara dengan jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-60. - BERNAMA


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain