suria

Pertembungan Man United-Liverpool Ibarat Perang Dunia Ketiga

Steve McMahon (baju biru) bergambar bersama peminat bola selepas sesi bertemu peminat di Menara The Star pada 17 Oktober 2016.

PETALING JAYA: Legenda Liverpool, Steve McMahon menyifatkan pertembungan antara dua gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool dan Manchester United ibarat Perang Dunia Ketiga dan lebih besar berbanding perlawanan El Clasico di La Liga antara Real Madrid dan Barcelona.

Berdasarkan pengalamannya sebagai bekas pemain tengah Liverpool selama enam musim bermula 1985 sehingga 1991, McMahon berkata, tahap ketegangan antara dua musuh tradisi itu juga lebih tinggi berbanding pertemuan antara kelabnya dengan musuh setempat, Everton.

Jelasnya, walaupun ramai orang mengatakan aksi El Clasico disifatkan sebagai perlawanan antara dua musuh paling ditunggu-tunggu, tetapi pengalamannya bersama syarikat penyiaran membuktikan perkara berbeza.

"Berdasarkan statistik, antara 800 juta hingga 1.2 bilion orang menonton siaran langsung antara Manchester United dan Liverpool setiap kali dua pasukan ini bertembung.

"Jadi anda dapat bayangkan betapa besarnya perlawanan ini bagi peminat bola sepak di seluruh dunia," katanya ketika sesi bertemu peminat di Menara The Star pada Isnin.

McMahon mengawal pergerakan pemain Manchester United, Clayton Blackmore. - Ihsan Mirror.uk

Kedua-dua pasukan terbabit dijadualkan bertemu dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pada pukul 3 pagi Selasa, sekali gus menjadi pertemuan ke-197 dalam semua peringkat perlawanan.

Manchester United yang kini dibimbing Jose Mourinho memiliki rekod yang lebih dengan mencatat 79 kemenangan berbanding Liverpool sebanyak 65 kali dan seri 52 kali.

Berdasarkan rekod terbaharu, skuad bimbingan Jurgen Klopp tewas dalam dua pertemuan liga pada musim lalu ketika Manchester United dibimbing oleh Loius van Gaal.

Editor Eksekutif mStar, Rozaid A. Rahman (tengah) menyerahkan cenderahati kepada legenda Liverpool, Steve McMahon selepas sesi bertemu peminat di Menara The Star pada 17 Oktober 2016.

Sementara itu, mengulas tentang pengalamannya ketika menentang Manchester United, bekas pemain berusia 55 tahun itu berkata, pertembungan dengan pasukan Red Devils ibarat menghadapi Perang Dunia Ketiga.

"Setiap pemain (Liverpool) akan melakukan persediaan rapi setiap kali bertemu dengan Manchester United.

"Saya juga menjangkakan Klopp melakukan perkara sama dan menerapkan corak permainan tekanan tinggi ke atas pemain Manchester United bagi mengelakkan pemain lawan mendapat ruang," katanya.

Pemilihan pengadil dari Greater Manchester, Anthony Taylor dilihat sebagai penentu perlawanan antara Manchester United dan Liverpool. - AGENSI

Bagaimanapun kontroversi pemilihan pengadil perlawanan iaitu Anthony Taylor juga mencetuskan kebimbangan terhadap McMahon memandangkan pengadil berkenaan berasal dari Greater Manchester.

Jelasnya, perlawanan tersebut bergantung kepada cara pengadil menghadapi tekanan dan mengawal aksi dengan baik.

"Perlawanan besar seperti akan menyaksikan pengadil mudah memberi kad kuning atau kad merah, sekali gus mempengaruhi keputusan perlawanan epik ini.

"Saya berasa kasihan kepadanya (Taylor) kerana sebarang perkara yang berlaku akan ditujukan kepadanya," katanya sambil meramalkan Liverpool menang ke atas United dengan keputusan 2-0.

Artikel Lain