suria

Contohi Semangat Patriotik Legenda Bola Sepak Era 1980-an

Salleh Said Keruak.

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata rakyat perlu mencontohi semangat patriotik dan kesefahaman yang dipamerkan pasukan bola sepak Malaysia era 1980-an yang berjuang habis-habisan untuk negara dan bukan diri sendiri.

Beliau berkata semangat seumpama itu terbukti menjadi antara faktor penyumbang kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

"Kita kena belajar daripada mereka kerana bukan mudah untuk membina satu pasukan, setiap individu dalam pasukan ada peranan masing-masing. Daripada kepelbagaian yang ada, mereka mampu membina kemampuan masing-masing dan berjaya.

"Sebab itulah kita perlu lupakan perbezaan yang ada. Apa yang penting adalah matlamat untuk memastikan kejayaan bersama selain menghormati ketua," katanya semasa melancarkan Dokumentari Harimau Malaya 1980 di sini Jumaat.

Turut hadir beberapa legenda bola sepak pasukan Harimau Malaya era 1980-an iaitu Datuk Soh Chin Aun, Hasan Sani, James Wong dan Santokh Singh.

Dokumentari keluaran Astro itu yang bakal disiarkan pada 16 September ini bersempena Hari Malaysia turut mengiktiraf kejayaan pasukan Harimau Malaya atau 'Dream Team' yang layak ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980.

Harimau Malaya 1980 akan disiarkan menerusi saluran Astro Arena saluran 801 atau 802 HD, SuperSport 810 (831 HD) dan Astro on the Go pada pukul 9 malam.

Salleh berkata pasukan itu bukan hanya mempamerkan persembahan permainan terbaik, malah membuktikan bahawa perbezaan dalam pasukan bukanlah penghalang bagi mereka menempa kejayaan negara dalam arena sukan bola sepak di persada antarabangsa.

"Saya bangga dengan pemain yang bermain bersungguh-sungguh atas nama negara bukan bersifat individu. Itulah semangat patriotik," katanya.

Mengenai dokumentari itu, Salleh berkata ia merupakan suatu usaha membanggakan malah bernilai sebagai bahan rujukan dan sumber inspirasi kepada generasi baharu.

Katanya dokumentari itu berjaya menghimpunkan kisah ranjau perjalanan negara dalam menempah peluang emas ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980.

"Kisah yang dipaparkan dalam dokumentari ini mengingatkan kita bahawa tugas memupuk perpaduan masyarakat Malaysia pelbagai budaya, etnik dan bahasa merupakan tanggungjawab semua," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain