suria

KBS Sedia Tawar Tempat Dalam PPBN Kepada Pemain Frenz United

Khairy ketika sesi memulakan kayuhan sempena Program Fit Malaysia 2016 di Dataran Rembau pada Ahad. - fotoBERNAMA

REMBAU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia menawarkan tempat di dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) kepada pemain di bawah Akademi Bola Sepak Frenz United (FUFA), yang kini sedang mengalami masalah pengurusan.

Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin berkata pihaknya memandang serius akan masalah yang sedang dihadapi pemain-pemain di bawah FUFA dan telah mengarahkan pegawainya untuk menjalankan siasatan.

"Saya tidak pasti apakah perancangan Frenz United kerana ini adalah akademi swasta tetapi saya difahamkan bahawa ada sedikit masalah pengurusan dan sekarang ini pemain-pemain yang ada dalam akademi ini seolah-olah terbiar dan tidak ada apa-apa latihan yang dibuat.

"Saya telah arahkan PPBN untuk menawarkan tempat kepada pemain-pemain Frenz United ini di sekolah-sekolah yang terlibat dalam program PPBN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program FIT Malaysia Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Rembau, di sini, pagi Ahad.

Khairy berkata FUFA adalah program cetusan ahli perniagaan dari Singapura untuk mencari bakat-bakat baru dalam bola sepak dan kini akademi tersebut yang terletak di Janda Baik, Pahang, sedang mengalami masalah pengurusan.

"Saya jemput semua ibu bapa dan pemain Frenz United yang sekarang ini seolah-olah tidak ada pembelaan, boleh datang ke Majlis Sukan Negara dan berjumpa dengan pegawai PPBN untuk membincangkan soal masa depan mereka.

"Kalau mereka nak sertai PPBN pun saya rasa kita boleh bagi tempat kepada mereka," katanya. - BERNAMA

KBS, Frenz United, Khairy Jamaluddin

Artikel Berikut

Artikel Lain