suria

Terbuka AS: Serena Menang Mudah

Serena Williams.

PEMAIN No.1 dunia, Serena Williams mencipta satu lagi sejarah apabila melakar kemenangan kali ke-307 Grand Slam bagi mengatasi rekod Martina Navratilova dan mara ke pusingan keempat Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Serena menundukkan Johanna Larsson dari Sweden 6-2, 6-1.

Bukan sahaja berjaya mengatasi rekod Navratilova sebagai pemain wanita terbanyak mencatatkan kemenangan Grand Slam, dia kini menyamai rekod dibuat Roger Federer dalam kategori lelaki.

"Saya amat teruja meraih kemenangan ke-307 ini. Ia adalah sesuatu yang diluar jangkaan seperti sasaran baharu saya. Kemenangan ini sesuatu yang indah buat saya.

"Sudah tentu saya mahu terus meraih lebih banyak kemenangan. Tiada tempat yang lebih baik untuk melakukannya selain di sini, di mana segalanya bermula," kata Serena.

Pemain berusia 34 tahun itu akan bertemu pemain Kazakhstan, Yaroslava Shvedova pada aksi suku akhir.

Kejayaan kali ke-23 akan membuatkan dia melepasi rekod dalam Era Terbuka yang kini dikongsinya bersama Steffi Graf dan menghampiri rekod sepanjang zaman Margaret Court.

Namun pemain Amerika Syarikat itu terpaksa memperlahankan rentak permainan berikutan kecederaan bahu kanan yang dialaminya sejak kemenangan di Wimbledon.

Kedudukannya sebagai pemain No.1 dunia turut terancam, dengan kedua-dua pemain pilihan kedua, Angelique Kerber dan pemain pilihan keempat Agnieszka Radwanska mempunyai peluang mengatasinya sebelum dia boleh melepasi rekod Graf dengan 186 minggu berturut-turut di puncak.

Serena Williams, Terbuka AS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain