suria

Olimpik: Welson Samakan Rekod Kebangsaan 200 Meter Gaya Bebas

RIO DE JANEIRO: Perenang negara Welson Sim hampir memadam rekod kebangsaannya dalam acara 200 meter gaya bebas tetapi masih boleh berpuas hati apabila menyamai rekod tersebut di Olimpik Rio pada Ahad.

Dalam cara keduanya selepas acara 400 meter gaya bebas semalam di pusat Akuatik di sini, perenang berumur 19 tahun ini mencatat masa 1:47.67s dalam  saringan ketiga menyamakan rekod kebangsaan yang diciptanya di kejohanan kumpulan umur kebangsaan Singapura pada Mac.

Dengan catatan masa itu, beliau menduduki tempat kedua dalam saringan tersebut dan di tempat ke-28 secara keseluruhan.

Hanya 16 perenang terpantas dalam peringkat saringan layak ke separuh akhir.

"Saya agak kecewa kerana saya boleh melakukan yang lebih baik. Saya melakukan yang terbaik pada peringkat 50 meter akhir tetapi ia sudah terlambat," kata perenang kelahiran Sarawak ini yang akan bertanding dalam acara gaya bebas 1,500 meter pada Jumaat.

Mengenai acara akhirnya itu, Weslon menyatakan beliau berhasrat memperbaiki masa terbaiknya 15:53.63s yang dicipta pada Terbuka Malaysia pada Mei lalu.

Rekod kebangsaan 15:23.61s bagi acara itu dicipta Jeffrey Ong pada 1991.

Sementara itu perenang wanita negara Phee Jinq En yang layak ke Olimpik Rio di bawah kategori B mengalirkan air mata apabila mencipta masa 1:10.22s dalam acara 100m kuak dada untuk menduduki tempat kedua pada peringkat saringan.

Jinq En gagal untuk menyamai rekod kebangsaannya 1:08.65s yang dicipta pada Terbuka Malaysia tahun ini.

Olimpik

Artikel Lain