suria

Pengalaman Poland Bantu Khairul Hafiz Capai Kejayaan Di Sukma

Khairul Hafiz menamatkan saingan akhir 100 meter lelaki dengan memecahkan rekod kebangsaan dengan masa 10.18 saat pada Sukma ke-18 di Stadium Sarawak pada Rabu. - fotoBERNAMA

KUCHING: Pecutan bersejarah Khairul Hafiz Jantan sehingga melakar rekod baharu kebangsaan 100 meter dengan catatan 10.18 saat, adalah hasil pengalaman menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Poland.

Jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim berkata latihan dan kejohanan berintensiti tinggi di Eropah Timur minggu lalu itu, banyak membantu Khairul Hafiz dan rakan sepelatihnya, Badrul Hisyam Abdul Manap meningkatkan prestasi sewaktu di Sukan Malaysia (Sukma) pada Rabu.

"Saya pun tidak sangka Khairul Hafiz akan mencatat masa sepantas ini...saya sasar dalam 10.27s atau 10.28s. Saya nampak peningkatan prestasi mereka di Poland.

"Pesanan saya kepada mereka sebelum (kejohanan) ini ialah buat macam latihan sahaja. Ketika di Poland, mereka macam gemuruh sedikit...bagaikan tertekan," kata jurulatih Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Johor itu.

Atlet kelahiran Melaka itu bukan sekadar dinobatkan sebagai Raja Pecut Sukma, malah turut meleburkan rekod 18 tahun milik Watson Nyambek, 10.30s yang dilakukan pada Sukan Pra-Komanwel 1998 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malah, catatan 10.18s pelari berumur 18 tahun yang mewakili Melaka di Stadium Sarawak di sini, hari ini hanya 0.01s lambat berbanding rekod Sukan SEA, 10.17s yang dicatatkan jaguh pecut Indonesia, Suryo Agung Wibowo pada edisi 2009 di Vientiane, Laos.

Pingat perak milik pelari tuan rumah, Jonathan Nyepa yang mencatat masa 10.36s, manakala Badrul Hisyam, juga mewakili Melaka, yang turut mencatat masa 10.36s terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa berdasarkan 'photo-finish'.

Sementara itu, apabila diminta menggulas kemerosotan prestasi Badrul Hisyam selepas pencapaian di Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN pada akhir tahun lalu, Mohd Poad berharap atlet berusia 19 tahun itu akan meningkatkan prestasinya dalam masa terdekat.

"Bagi Badrul, saya cuma nasihatkannya kerana dia masih muda dan panjang perjalanannya. Benda (kemerosotan) itu mungkin peribadi sikit, tetapi kita akan atasi secara berhemah dengan dia," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain