suria

Enam Ditahan Kes Lempar Batu Bas Penyokong Kedah

Mior Faridalatrash.

GEORGE TOWN: Enam lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes sekumpulan lelaki bermotosikal melempar batu ke arah bas penyokong Kedah di Jalan Datuk Keramat, di sini selepas perlawanan bola sepak Liga Super malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata mereka yang berusia 16 hingga 40 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di negeri ini, antaranya di daerah Timur Laut dan Seberang Perai dari pukul 2 pagi hingga 8 pagi Rabu.

"Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, bas persiaran yang membawa 40 penyokong Kedah dalam perjalanan pulang ke Alor Star. Ketika melalui Jalan Datuk Keramat, kira-kira 15 hingga 20 motosikal mengekori rapat bas tersebut.

"Mereka yang dipercayai penyokong pasukan Pulau Pinang membaling batu ke arah bas itu sehingga sebahagian cermin kiri dan kanan retak, lampu belakang pecah dan badan bas kemek," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Beliau berkata kejadian selepas perlawanan yang menyaksikan Pulau Pinang menewaskan Kedah 3-2 itu menyebabkan keadaan menjadi kecoh dan kereta peronda polis terpaksa mengiringi bas tersebut ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Mior Faridalatrash berkata pemandu bas berusia 31 tahun itu membuat laporan polis dan mendakwa kerugian lebih RM20,000.

Tiada kecederaan dilaporkan.

Beliau berkata keenam-enam lelaki termasuk dua penjawat awam itu ditahan berdasarkan nombor pendaftaran motosikal mereka dan polis telah mengenal pasti 10 lagi motosikal yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

"Kesemua yang ditahan itu akan direman esok dan polis meminta mereka yang terlibat dalam kejadian itu supaya menyerah diri," katanya.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, kejadian itu dipercayai berpunca daripada provokasi antara penyokong Kedah dan Pulau Pinang sejak dari dalam stadium.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mior Faridalatrash berkata polis telah mengenal pasti beberapa lelaki dipercayai penyokong Selangor yang membaling bom asap sehingga mencetuskan kekecohan pada perlawanan Liga Super ketika menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya di sini, Ahad lepas.

Isnin lepas, terdapat rakaman video yang menjadi viral menunjukkan penyokong Selangor mencetuskan kekecohan di Stadium Bandaraya di sini. - BERNAMA

penyokong kedah, bas

Artikel Lain